suria

20 Artis Sertai Jualan Kumpul Dana Tabung Gaza

Fathia dan kekasihnya Aiman turut terlibat dalam acara amal Karnival Fest! Crazy Raya Sale
SUBANG JAYA:  Seramai 20 orang selebriti terkenal bakal menjayakan Karnival OMG Fest! Crazy Raya Sale 2014 yang akan berlangsung di One City Garden Shoppe, di sini, pada Jumaat hingga Ahad ini.

Selain barisan artis, seramai 150 peniaga lain turut terlibat dalam acara bagai mengutip dana untuk disalurkan ke Tabung Gaza.

Karnival itu dibuka dari pukul 10 pagi hingga 12 malam.

Antara barisan artis yang bakal terlibat ialah Afdlin Shauki, Fauziah Ahmad Daud, Noorshila Amin, Nadia Mustafar, Hasnol Hassan, Diana Danielle, Annahita Bakavoli, Radhi (OAG), Zur Eda, Nur Fathia Latif & Aiman Hakim Ridza, Farhan Azizan, Aida Aris dan Shila Mambo.

Noorshila Amin

Sementara itu, penyanyi Noorshila Amin berkata dia akan menyalurkan RM2 pada setiap jualan produknya ke Tabung Gaza bagi meringankan beban rakyat yang sedang berhadapan dengan ancaman Israel itu.

Kata Noorshila, hatinya tersentuh setiap kali mendengar berita tentang peperangan yang berlaku di Gaza terutamanya apabila ia melibatkan anak-anak kecil.

"Ini bukan kali pertama kami buat jualan amal sebegini, tahun lalu kami sekeluarga ada buat aktiviti mengumpul semua baju terpakai dan menjualnya untuk kutipan dana, Alhamdulillah dapat kumpul lebih RM2,000.

"Saya sangat sedih melihat penderitaan penduduk Gaza terutamanya anak-anak kecil yang tidak berupaya menyelamatkan diri. Kadang-kala saya rasa ingin berjihad di Israel," ujarnya.

Pada karnival tersebut, Noorshila akan menjual Rempah Rendang Diraja Mak Mortuo Den dan Pes Soto Diraja hasil buatannya sendiri.

mStar Default Image
Arja Lee

Sementara itu, Arja Lee turut mengambil kesempatan menjual lima jenis biskut raya istimewa daripada keluarganya dan menghulurkan separuh daripada hasil jualan tersebut kepada tabung berkenaan.

Katanya, biarpun sedikit tetapi ia sangat bermakna buat penduduk negara itu yang sangat memerlukan.

"Saya mengikuti perkembangan Gaza dan tidak tahan melihat kesedihan yang mereka alami setiap hari.

"Saya tidak mampu untuk pergi ke sana dan berjuang membantu mereka, tetapi berharap dengan sedikit sumbangan ini dapat juga membantu mereka," ujarnya.

Nur Farhan

Manakala, penyanyi Nur Farhan Azizan berkata, aktiviti amal ini seharusnya dilakukan secara berterusan dan bukan sahaja pada bulan Ramadan.

Katanya, sebagai orang Islam, kita bertanggungjawab untuk membantu mereka yang dalam kesusahan dalam apa juga cara.

"Setiap hari dengan tentang penderitaan mereka di media sosial dan televisyen sudah cukup buat kita rasa bertanggung jawab untuk tampil memberi bantuan biarpun kecil.

"Saya harap aktiviti sebegini bukan hanya bulan Ramadan dan ketika Gaza di serang, sebaliknya diteruskan untuk dana lain juga," ujarnya.

Farhan bakal menjual lebih 20 jenis biskut moden hasil buatannya sendiri pada karnival tersebut.

Sementara itu, pengurus OMG Fest!, Lieza Baharom berkata, objektif penganjuran karnival ini adalah untuk mengumpul dana bagi rakyat Palestin di Gaza.

Katanya, selain membeli-belah para pengunjung juga boleh menyumbang terus ke tabung Gaza yang disediakan.

"Semua orang boleh menyumbang sama ada melalui pembelian barangan yang dijual ataupun menghulurkan terus ke tabung yang kami sediakan.

"Karnival ini juga sebagai tanda perihatin rakyat Malaysia kepada penduduk Gaza selain mengambil rahmat bulan Ramadan," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Lain