PETALING JAYA: Penyanyi Noorshila Amin berhasrat untuk membina sebuah kilang memproses rempah menggunakan duit simpanan peribadi dan wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) milik suaminya pada tahun depan. Noorshila berkata, dia serik dan kecewa setelah permohonannya untuk mendapatkan pinjaman perniagaan bagi mengembangkan bisnes Rempah Diraja Rendang Mak Mertuo Den beberapa kali tidak berjaya. "Saya sudah penat buat permohonan di beberapa agensi pinjaman perniagaan tetapi tidak berjaya, saya tidak tahu apa syarat yang saya tidak penuhi lagi kerana mereka sendiri tidak memberitahu kenapa ia gagal. "Ada yang kata pihak agensi hanya beri kepada usahawan yang sudah sedia beroperasi, kalau begitu bagaimana dengan kami usahawan baru yang ingin menceburi bidang ini. "Saya nekad tahun depan kalau tidak dapat juga kami tetap akan bina sebuah kilang menggunakan duit simpanan peribadi dan duit dari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja suami saya," katanya kepada mStar Online. Rempah Di Raja yang diusahakan oleh Noorshila Amin. Noorshila kini mengusahakan beberapa jenis rempah masakan dan pes daripada resipi turun-temurun keluarga sejak setahun lalu. Bagaimanapun, katanya, perkara tersebut tidak melemahkan semangatnya untuk terus mengusahakan bisnes secara kecil-kecilan itu melalui secara dalam talian dan beberapa bazaar di sekitar Kuala Lumpur dan Seremban, Negeri Sembilan. Tambahnya, buat masa ini segala urusan dan pemprosesan rempah dilakukan di rumah sahaja. "Sekarang ini beroperasi di rumah sahaja, masa awal-awal dulu kita buat secara online tetapi lepas banyak permintaan kita buka gerai terutama di Mydin Mall di Seremban. "Dulu saya proses hanya lima kilogram seminggu tetapi sekarang sudah 30 kilogram seminggu dan memerlukan lebih tenaga kerja serta kawasan operasi," katanya. Sementara itu, bercerita tentang rempah tersebut, Noorshila berkata, dia menerima banyak maklum balas positif daripada pelanggan yang sudah mencuba resipi tersebut. Katanya, dia percaya perniagaan tersebut mampu berkembang jika dilakukan secara serius. "Sebelum ini saya banyak cuba pelbagai jenis perniagaan tetapi semuanya seperti tidak bersesuaian, saya rasa semua artis jual produk yang sama. "Rempah ini berbeza dan ia merupakan produk hasil tangan saya sendiri daripada resipi keluarga," katanya.