KUALA LUMPUR: Pelakon veteran, Hamid Gurkha mendedahkan dia mula menjaga pemakanan sehariannya sejak berusia 40 tahun lalu sebagai salah satu usaha untuk mengelak daripada terkena penyakit-penyakit berbahaya.
Hamid atau nama sebenarnya Abdul Hamid Abdul Rahman, 81, berkata, berkat amalannya itu sehingga kini dia tidak mempunyai sebarang penyakit kronik dan bersyukur diberi kesihatan baik oleh Tuhan.
"Sejak 40 tahun lalu saya tidak mengambil makanan laut dan jarang makan ayam dan daging. Jika ada pun pada waktu-waktu tertentu sahaja seperti menghadiri kenduri dan Hari Raya.
"Minuman bergas dan berais juga saya elakkan. Saya berpantang dalam pemakanan kerana ingin mengelak daripada terkena penyakit seperti kencing manis, darah tinggi dan jantung.
"Alhamdulillah pada usia kini saya bebas daripada sebarang penyakit tetapi biasalah orang tua kadang-kadang sakit sendi dan pening," katanya kepada mStar Online.
Pak Hamid masih memandu pada usianya yang kini mencecah 81 tahun.
Pak Hamid masih menerima banyak tawaran berlakon.
Sementara itu, Pak Hamid berkata, dia bersyukur pada usianya sekarang masih ada pengarah dan penerbit yang mempercayai bakat lakonannya dan terus menawarkannya peranan dalam drama atau filem terbitan mereka.Jelas Pak Hamid, menerusi duit lakonan yang diperolehinya ia dapat digunakan untuk membeli ubat atau pun digunakan pada waktu-waktu kecemasan.
"Selagi kudrat terdaya saya akan terus berlakon seperti biasa dan Alhamdulillah tawaran itu sentiasa ada," katanya.
Pak Hamid pernah terkenal dengan filem Sikit Punya Gila pada tahun 1982 gandingan bersama Dharma Harun Al-Rashid dan Ragam Pemandu (1989) bersama Aznah Hamid.
Pada sekitar tahun 1970-an juga, dia pernah menerbitkan album sketsa lawak jenaka bersama rakan duetnya, Datuk Jamali Shadat dan menghasilkan beberapa buah album seperti Manaku Tada Mengaku, Dodol dan Ujian Memandu.