suria

Erra Fazira Tidak Kisah Peminat Imbau Semula Sejarah Cinta Dengan Awie

Erra Fazira tidak kisah jika sejarah cintanya dengan Awie dibangkitkan semula. Foto AIZUDDIN AFIQ FIRABERI

PETALING JAYA: Pelakon Erra Fazira berharap gandingannya bersama Awie menerusi filem Warna Cinta Impian tidak akan menimbulkan spekulasi secara berlebih-lebihan dengan mengaitkan kisah cinta mereka dahulu.

Erra tau nama sebenarnya Fazira Wan Chek, 40, berkata, ia dilihat tidak manis memandangkan kedua-dua mereka sudah mempunyai haluan hidup sendiri, namun tidak mempunya masalah jika peminat-peminat sekadar mengimbas kenangan sejarah cinta mereka.

"Saya bersetuju untuk berlakon semula dengan Awie kerana mahu mengubat rindu kepada peminat yang ingin melihat kami beraksi bersama seperti pada tahun 1990-an.

"Tetapi janganlah peminat-peminat membayangkan lebih jauh. Kalau setakat imbas kembali cerita-cerita lama kami, tidak apa. Saya tidak kisah. Cuma saya harap jangan ada spekulasi lain pula yang timbul," katanya.

Tambah Erra, dengan usia mereka yang sudah semakin dewasa, gosip cinta dianggap seperti tidak sesuai lagi memandangkan perhubungannya dengan Awie tidak lebih sebagai rakan kerja.

Awie dan Erra bakal membintangi filem Warna Cinta Impian.

Terdahulu, Erra dan Awie pernah menjalinkan hubungan cinta selama lima tahun dan sempat bertunang. Namun ikatan pertunangan itu terlerai pada tahun 1998.

Sementara itu, Erra berkata, dia menerima tawaran membintangi  Warna Cinta Impian terbitan Touch Tronics Entertainment Sdn Bhd selepas melihat skripnya yang menarik.

"Apabila membaca skripnya, saya tertarik tambah pula sudah lama industri perfileman tempatan kita tidak disajikan dengan cerita-cerita cinta.

"Tambah pula, tiga bulan lalu saya dan Awie terlibat dalam pementasan Konsert Teaterikal Suara Kita, saya percaya kami masih lagi ada keserasian dalam lakonan," ujarnya.

Filem mengenai kisah masalah cinta daripada empat pasangan berbeza itu bakal memulakan pengambaran pada Ogos depan di sekitar Kuala Lumpur, Brisbane, Australia dan Jaipur, India.

Selain Erra dan Awie, filem yang menelan belanja sebanyak RM2.5juta itu turut dibintangi pelakon Azlee Khairi, Nelydia Senrose, Syiqin Kamal dan Erwin Shah Dawson.

Awie, Erra Fazira

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan