PETALING JAYA: Penyanyi Haiza akan mengekalkan konsep dangdut dalam lagu-lagunya kerana serasi dengan genre tersebut dan ia turut dibuktikan menerusi penerbitan single terbaharunya berjudul Kerana. Haiza, 34, bagaimanapun berkata, bagi menampilkan kelainan, dia menggabungkan muzik dangdut dan rap dalam lagu yang dicipta oleh Damian Mikhail dan menampilkan bekas anggota kumpulan Ahli Fikir iaitu Filsuf. "Saya mahu mengekalkan dangdut dalam lagu-lagu saya termasuk single terbaharu biarpun ia mempunyai elemen rap di dalamnya namun itu bagi mengikuti cita rasa generasi muda masa kini. "Karya yang dihasilkan oleh Damian cukup baik dan saya bertuah apabila dia bersetuju untuk mencipta lagu tersebut khas untuk saya," katanya kepada mStar Online. Kerana dimuatkan dalam album mini penyanyi itu berserta empat lagu lain iaitu Semalam, Marilah Padaku, Semarak Hati dan Dua Kutub Magnet. Haiza kini turut berjinak-jinak dalam bidang perniagaan. Dalam pada itu, Haiza berkata, dia bersyukur dengan sambutan menggalakkan daripada peminat terhadap lagu berkenaan termasuk sokongan stesen radio kerajaan dan swasta terhadapnya. "Alhamdulillah sejak dilancarkan pada April lalu ia mendapat sambutan yang baik daripada pendengar dan setakat ini Kerana telah menduduki carta hit teratas stesen radio THR Permata Pantai Timur FM dan Suria FM. “Tak sangka lagu Kerana mendapat sokongan baik oleh semua stesen radio tempatan dan mengucapkan terima kasih kerana memberi peluang kepada saya untuk terus mengembangkan karier,” katanya. Sementara itu, Haiza berkata, selain aktif menghasilkan lagu terbaharu menerusi syarikat produksinya, dia juga turut mengusahakan produk kesihatan dan kecantikan wanita. Jelas Haiza, dia ingin berkongsi pengetahuannya mengenai kecantikan dan kesihatan dengan peminat selain menjadi usahawan berjaya suatu hari nanti. "Saya tidak boleh mengharapkan kepada bidang nyanyian sahaja dan perlu melakukan sesuatu bagi menguatkan ekonomi keluarga. "Alhamdulillah produk Haiza Jus Curcumae Vit-Plus yang membantu menambah tenaga badan, melancarkan haid dan proses pencernaan, merawat keputihan, menghaluskan kulit termasuk menghilangkan bau badan mendapat sambutan baik daripada pelanggan," katanya.