suria

Astro Oasis Sahkan Gambar Mayat Dililit Ular Rakaman 'Tanah Kubur'

Namanzee Harris

PETALING JAYA: Stesen televisyen saluran Astro Oasis mengesahkan beberapa gambar jenazah dililit seekor ular yang tersebar dan menimbulkan kekecohan masyarakat merupakan salah satu babak dalam drama Tanah Kubur: Kutuk Azan.

Pengurus saluran itu, Namanzee Harris berkata, gambar tersebut diambil oleh salah seorang krew produksi untuk simpanan pihak Astro, bagaimanapun ia tersebar di laman-laman blog dengan pelbagai cerita yang menimbulkan kerisauan orang ramai.

"Ya, itu merupakan salah satu babak dalam drama Tanah Kubur bagi episod Kutuk Azan, saya juga tidak tahu bagaimana ia boleh tersebar di internet kerana drama itu belum lagi ditayangkan.

"Penggambaran dilakukan kira-kira tiga minggu lepas di Sungai Ijok, Selangor dan diarahkan oleh Rashid Sibir. Saya juga sudah minta pengesahan tentang gambar itu daripada pihak produksi," ujarnya ketika dihubungi mStar Online, di sini, Khamis.

Namanzee berkata demikian ketika diminta mengulas tentang beberapa keping gambar jenazah sedang disembahyangkan dilingkari seekor ular sawa yang tersebar di internet.

Gambar yang didakwa kejadian benar yang berlaku di utara tanah air itu telah menimbulkan kebimbangkan masyarakat.

Gambar yang tersebar di internet menimbulkan keresahan masyarakat.

Menurut Namanzee, dia pada awalnya turut terkejut apabila menerima kiriman gambar-gambar tersebut daripada rakan-rakannya yang bertanyakan hal itu.


"Beberapa hari lalu ada beberapa rakan yang hantar gambar ini kepada saya, mula-mula saya tengok macam betul tetapi bila lihat betul-betul ia nampak ular itu seperti sudah diatur dan sedia untuk penggambaran.

"Kalau orang luar lihat mungkin akan mempercayainya, lagi pula kononnya ia berlaku pada bulan Ramadan ini," katanya.

Dalam pada itu, katanya, drama Tanah Kubur: Kutuk Azan itu bakal ditayangkan tidak lama lagi bagi musim ke-12.

Drama tersebut merupakan inspirasi daripada kisah yang diambil pada zaman Khalifah Abu Bakar R.A berkenaan pengebumian seorang lelaki yang telah mengutuk laungan Azan dan mayatnya dibelit oleh seekor ular.

Artikel Lain