PETALING JAYA: Pelakon dan penyanyi Ieda Moin terkilan apabila ada beberapa produksi menarik balik tawaran lakonan yang diberikan kepadanya apabila mengetahui dia kini sudah langsing dan kurus. Ieda atau nama sebenarnya Siti Haida Abd Moin, 34, berkata, dia berasa pelik dengan keadaan itu kerana menyangka perubahan fizikalnya itu akan memudahkan peluangnya untuk mendapat tawaran berlakon. "Terkejut juga saya apabila diberitahu tawaran ditarik balik kerana saya berbadan kurus dan mereka mahukan pelakon komedi wanita yang berbadan besar. "Pemikiran bahawa hanya wanita bersaiz besar yang boleh buat lawak sepatutnya sudah lama dibuang dan kejadian tersebut memang buat saya terkilan," katanya kepada mStar Online. Ieda yang pernah memiliki berat sebanyak 72 kilogram berjaya mengurangkan kepada 48 kilogram. Bagaimanapun kata Ieda, keadaan itu hanya bersifat sementara dan kini tawaran lakonan kepadanya kembali seperti biasa. Ieda mengurangkan berat badannya kerana ingin menjaga kesihatan. Malah kata Ieda, dia seronok apabila mendapat pelbagai tawaran yang bukan sahaja untuk peranan komedi tetapi juga watak lain seperti antagonis dan penggoda. Dalam pada itu, Ieda tidak menafikan dia menguruskan badan untuk kelihatan cantik seperti mana wanita lain namun kini ia bukanlah faktor utama. Jelas Ieda, usianya yang semakin meningkat membuatkan dia takut akan diserang pelbagai penyakit akibat berat badan berlebihan dan perkara itu menjadi faktor pendorong kepadanya untuk menguruskan badan. "Siapa tidak mahu cantik? Tetapi itu bukanlah faktor utama kerana paling penting sekarang saya dapat menjaga kesihatan tambahan pula sekarang ini macam-macam penyakit ada. "Sebelum terlewat adalah lebih baik saya mula mengamalkan gaya hidup sihat," jelasnya. Dalam perkembangan lain, Ieda berkata, dia bakal muncul dengan dua telefilem terbaharu iaitu Aura Boche Beraya dan Kelab Kelib untuk tontontan hari raya. Malah dua drama bersiri lakonannya berjudul Selamat Pengantin Madu dan Misiku Kuza sedang ditayangkan.