suria

Jihan Musa Anggap Rawatan Pembedahan Muka Membazir

Jihan Musa

PETALING JAYA: Pelawak Jihan Musa tidak pernah terfikir untuk melakukan sebarang rawatan  tertentu mendapatkan wajah yang cantik seperti yang dilakukan kebanyakan selebriti.

Jihan, 30, berkata, dia menganggap perkara tersebut sebagai suatu pembaziran dan lebih selesa dengan apa yang dikurniakan secara semula jadi.

"Saya tidak pernah dikelilingi oleh mereka yang berbuat begitu, jadi saya tidak tahu di mana tempat mereka melakukan rawatan untuk jadi lebih cantik.

"Pada saya tidak penting untuk membuat rawatan atau mengubah wajah kerana ia bukan sahaja berdosa, malah memerlukan kos yang tinggi.

"Saya hanya menggunakan pencuci muka berharga kurang daripada RM20 sahaja setiap bulan," ujarnya ketika ditemui pada majlis pelancaran Super Spontan, di Talent Lounge, di sini, Jumaat.

Jihan berkata demikian ketika mengulas tentang perubahan wajahnya yang kini dikatakan lebih berseri-seri berbanding pada awal kemunculanya dalam industri hiburan.

Selain itu, gambar-gambar yang dimuat naiknya dalam laman sosial Instagram turut mendapat pujian peminat yang meminta dia untuk berkongsi rahsia kecantikkan.

Jihan Musa


"Saya masih sama seperti dahulu mungkin kerana usia sudah semakin dewasa dan saya akui lebih menjaga penampilan diri ketika keluar dari rumah.

"Sejak jadi artis saya akan bersolek dan pilih pakaian untuk keluar ke tempat awam kerana saya tidak mahu peminat ambil gambar dalam keadaan tidak elok.

"Lagi pun apa yang saya muat naik di Instagram itu sudah di edit menjadi lebih cantik," ujarnya.

Tambah Jihan, apa yang lebih penting sebagai seorang selebriti ialah penampilan yang kemas dan selesa untuk didekati oleh masyarakat.

Sementara itu, Jihan yang turut beraksi untuk program Warna Super Spontan musim ketiga ini juga mengakui teruja untuk bersama-sama terlibat dengan permainan secara spontan yang akan dilakukan bersama selebriti lain.

"Ini kali pertama mereka tawarkan saya untuk terlibat, saya terus setuju kerana saya suka permainan secara spontan ini.

"Saya tidak sasar untuk menang sebaliknya sekadar untuk berhibur dengan kawan-kawan yang lain," katanya.

Warna Super Spontan akan bermula pada 22 Ogos depan secara langsung menerusi Astro Warna saluran 132, pada pukul 10 malam.

Antara selebriti lain yang terlibat adalah Johan, Shuib (Sepah), Taukeh, Shahrol (Shiro), Micheal Ang, Achey, Sharifah Sakinah, Abam, Didie Alias, Yus (Jambu), Syuk dan Rahim.

Jihan Musa

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan