SUBANG JAYA: Pelakon Farid Kamil banyak memberi pendedahan kepada anak lelakinya, Muhammad yang kini berusia mencecah 13 bulan dengan aktiviti sukan berkuda. Farid, 31, berkata, Muhammad turut menunjukkan minat terhadap sukan tersebut selepas sering kali membawa kanak-kanak itu melakukan aktiviti riadah kegemarannya. "Saya selalu bawa dia setiap kali ingin bermain polo dan saya lihat dia sangat gembira dan tidak ada perasaan takut dengan haiwan tersebut. "Pernah satu sesi fotografi saya dan dia di atas kuda, ketika itu saya belum sedia dan sedang membetulkan cermin mata, dia melakukan aksi seperti orang menunggang kuda hingga membuat kuda tersebut berjalan," ujarnya kepada mStar Online ketika di previu telefilem Kem Cuci Tangan, di Ruang, di sini, Selasa. Dalam pada itu, Farid berkata, sukan berkuda itu juga merupakan antara salah satu aktiviti dia menghabiskan masa bersama keluarga. Farid bersama Muhammad Dia turut berharap agar Muhammad membesar dengan meninati sukan tersebut. "Saya selalu sibuk dengan kerja jadi masa beriadah dengan sukan kegemaran saya ini saya terpaksa bawa keluarga bersama. "Secara tidak langsung juga saya mahu dia terdedah dan minat dengan sukan ini. Kalau boleh saya memang berharap dia dapat menjadi ahli sukan polo yang profesional satu hari nanti," katanya. Sementara itu, Farid berkata, dia turut menyertai pertandingan Polo iaitu Merdeka Cup Pahang Classic di Pekan, Pahang pada Rabu. Ia merupakan pengalaman pertandingan pertamanya dalam sukan tersebut. "Esok (hari ini) saya akan sertai pertandingan itu dan sangat teruja apabila ia diadakan di Pahang iaitu tempat saya dibesarkan. "Sebelum ini saya hanya sertai pertandingan kecil sahaja, ini merupakan pertandingan pertama yang agak besar sepanjang saya bermain polo ini," ujarnya. Dalam pada itu, mengulas tentang telefilem Kem Cuci Tangan, Farid berkata, dia membawakan watak sebagai bekas gengster yang dipertanggungjawabkan untuk memulihkan lima orang pemuda yang terlibat dengan aktiviti tersebut. Katanya, telefilem tersebut banyak menerapkan nilai-nilai positif dan keagamaan sebagai panduan kepada penonton. "Telefilem ini merupakan projek khas untuk HyppTV dan ia banyak menonjolkan nilai-nilai positif kepada penonton. "Ini juga merupakan telefilem pertama saya bergandingan dengan beberapa pelakon lelaki baharu yang bakal menjadi pelapis kepada industri satu hari nanti," ujarnya. Telefilem Kem Cuci Tangan turut dilakonkan oleh Niezam Zaidi, Eddy Kodiang, Along Ezendy, Azwan kombos dan Zalif Sidek. Kem Cuci Tangan arahan Dharma Aizat ini bakal disiarkan secara eksklusif di HyppTV dan boleh ditonton oleh pelanggan HyppTV pada bulan ini di Hyppflicks, Saluran 801 menerusi Set Top Box HyppTV.