PETALING JAYA: Penerbit filem Metrowealth International Group (MIG) David Teo berasa pelik apabila single lagu pertamanya berjudul Kacang tidak diterima baik oleh pihak stesen radio tempatan sedangkan ia mendapat sambutan di YouTube dengan jumlah lebih 112,000 tontonan.
David berkata, lagu yang turut menampilkan penyanyi Fida Ibrahim, Zarul dan Cat Farish itu hanya dimainkan selama seminggu di beberapa buah stesen radio menerusi segmen lagu baru tempatan dan kemudian ia tidak lagi ke udara.
"Mereka (pihak radio) menganggap lagu itu tidak mencapai piawaian seperti yang dikehendaki.
"Jika benarlah lagu saya itu biasa-biasa sahaja, tidak mungkin Kacang mendapat jumlah tontonan yang tinggi di YouTube, malah ia masih lagi ditonton sehingga kini. Malah liriknya juga sarat dengan mesej yang berguna buat masyarakat kita," katanya yang dihubungi mStar Online.
Tambah David, dia tidak terkilan pun dengan mana-mana stesen radio kerana menganggap Kacang sudah mencetuskan fenomena tersendiri walaupun hanya menerusi di YouTube sahaja.