suria

Syazwan Zulkifly Berang Lakonannya Dengan Nabila Huda Dipersoalkan

Syazwan Zukifli kecewa ditemubual sambil lewa.
PETALING JAYA: Pelakon Syazwan Zulkifly berang apabila ada pihak mempersoalkan kononya dia tidak layak bergandingan dengan Nabila Huda menerusi filem terbaharu yang sedang dalam penggambaran iaitu berjudul Gamatisme.

Syazwan berkata, pihak tersebut tidak membuat kajian terlebih dahulu kerana sebelum ini dia sudah beberapa kali digandingkan dengan pelakon wanita popular itu.

"Saya agak marah dengan cara seorang wartawan bertanya pada saya sama ada saya layak atau tidak berlakon dengan Nabila Huda disebabkan saya pelakon baru. Sebelum ini saya sudah beberapa kali bergandingan dengan Nabila untuk beberapa drama.

"Dia tanya saya dalam keadaan sambil lewa, jadi saya jawab juga sambil lewa dan seperti tidak buat kajian terlebih dahulu sebelum hubungi saya," ujarnya kepada mStar Online.

Nabila Huda 

Syazwan sebelum ini pernah bergandingan dengan Nabila Huda dalam drama berjudul Jodoh Itu Milik Kita yang disiarkan di Astro Mustika HD.

Syazwan berkata demikian ketika diminta mengulas tentang tindakannya yang dikatakan menjawab sambil lewa dan memutuskan talian telefon pada pertengahan sesi temuramah yang dilakukan oleh sebuah akhbar harian.

Dalam pada itu, Syazwan menafikan bersikap sombong dan bersikap kurang ajar apabila bertindak memutuskan talian tersebut dengan segaja selepas enggan menjawab pertanyaan wartawan berkenaan.

"Kalau siapa yang kenal saya, saya masih seperti orang yang dulu, seorang yang gila-gila dan tiada masalah dengan sesiapa.

"Saya akui memang talian terputus bukan kerana saya sengaja tetapi beteri saya habis, ketika itu saya di set penggambaran filem tersebut, sehingga malam barulah saya cuba menghubungi wartawan tersebut semula, namun gagal," katanya.
Syazwan Zulkifli, Nabila Huda

Artikel Lain