KUALA LUMPUR: Penyanyi Nur Farhan Azizan akhirnya membuat pengumuman rasmi bakal bernikah dengan Ahmad Rashadan Suhaimi, 30, di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya pada 10 Oktober depan. Farhan, 30, berkata, keputusan memilih tarikh itu kerana menganggap ia adalah masa paling sesuai selepas dua tahun mereka mengikat tali pertunangan. "Kami memilih 10 Oktober depan untuk mendirikan rumah tangga kerana kami benar-benar sudah bersedia selepas dua tahun bertunang. "Alhamdulillah kami berjaya menempuhi lapan tahun hubungan percintaan ini dengan pelbagai dugaan," katanya pada sidang media yang diadakan di Restoran Anggun Fusion, Plaza Damas, di sini, Rabu. Pasangan ini mengikat tali pertunangan pada 12 Februari 2012. Ahmad Rashadan adalah pengarah pengurusan bisnes di sebuah syarikat swasta. Dalam pada itu, Farhan berkata majlis akad nikah akan diadakan pada sebelah pagi, manakala majlis resepsi akan dijalankan sebelah malam di Dewan Seri Endon, Putrajaya. Pada majlis tersebut Farhan bakal menggayakan busana rekaan pereka fesyen Calvin Thoo dan memilih konsep Melayu Klasik bagi pelamin yang ditaja oleh Nas The Great Idea. "Dalam tempoh yang agak singkat selepas membuat keputusan untuk berkahwin, kami banyak dibantu oleh beberapa pihak yang tampil ingin menaja perkahwinan kami. "Baju, pelamin, video dan audio telah mendapat tajaan daripada pelbagai pihak yang bermurah hati yang melancarkan perjalanan majlis kami nanti," ujarnya.