suria

70 Pawagam Siar Lagu Negaraku Sempena Hari Kemerdekaan

Ahmad Shabery Cheek (tengah belakang) menyanyi lagu "Negara Ku" bersama para tetamu jemputan selepas Majlis Pelancaran Penayangan Lagu Negaraku dan Promo Kemerdekaan di Pawagam Serta Penyiaran Dokumentri di Petaling Jaya, malam Khamis. Foto BERNAMA
PETALING JAYA: Bersempena dengan sambutan Hari Kemerdekaan negara ke-57 pada 31 Ogos ini, lagu kebangsaan Negaraku akan disiarkan ke 70  pawagam di seluruh Malaysia sebelum tayangan mana-mana filem bermula malam Khamis.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, siaran lagu berkenaan akan dilakukan sehingga 16 September depan, yang merupakan sambutan Hari Malaysia.

"Ini merupakan tahun kedua lagu Negaraku dimainkan sebelum tayangan filem dilakukan.

"Diharap, segala kesulitan pada tahun lalu dapat diatasi kali ini dengan lebih baik lagi. Selain itu, beberapa lagu patriotik popular juga akan dimainkan sebelum tayangan filem dilakukan ," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis pelaksanaan tayangan promo, treler dan nyanyian lagu Negaraku sempena Hari Kemerdekaan negara ke-57 di pawagam Cathay Cineplex e@Curve di sini, Khamis.

Majlis tayangan khas lagu Negaraku pada Khamis  disempurnakan oleh Shabery sebelum tayangan filem Hollywood terbaharu berjudul Lucy.

Tayangan dimulakan dengan lagu Negaraku, Sajak Merdeka, Jalur Gemilang dan Di Sini Lahirnya Sebuah Cinta. Kesemua lagu tersebut mengambil masa kira-kira selama 7 minit 22 saat.

Program ini turut mendapat kerjasama daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dan Astro.

Sementara itu, sebanyak 11 buah dokumentari kemerdekaan turut akan ditayangkan di Astro Prima bermula 30 Ogos ini hingga 16 September depan.

"Kalau boleh kita mahu masyarakat Malaysia terutamanya golongan muda dipupuk dengan didikan sejarah negara.

"Ia bertujuan memupuk semangat cintakan negara serta menyemarakkan lagi sambutan hari kemerdekaan kita," kata Shabery.

Dokumentari yang bakal disiarkan di Astro Prima adalah Pejuang: Tun Temenggung Jugah (30 Ogos, 10 pagi), Tan Sri Aishah Ghani (31 Ogos, 10 pagi), Tokoh-Tokoh Merdeka (6 September, 10 pagi), Tun V.T. Sambanthan (6 September, 10.30 pagi) Merdeka Satu Warisan Bangsa (7 September, 10 pagi) dan Wan Mat Saman ( 7 September, 10.30 pagi).

Manakala dokumentari A Leader's Legacy: Tun Abdul Razak disiarkan pada 13 September, pukul 10 pagi, Tokoh Negara- Peneraju Kegemilangan Malaysia (14 September, 10 pagi), 25 Tahun Merdeka (16 September, 2 petang) dan Malaya 1958- First Year Independence (16 September, 3 petang).

Artikel Lain