suria

Amy (Search) Gembira Perubahan Hidup Nabila

Amy bahagia dengan perubahan anak kesayangannya Nabila HUda.
KUALA LUMPUR: Penyanyi Amy (Search) menjelaskan hubungan dia dengan anaknya, pelakon Nabila Huda menjadi lebih akrab terutamanya selepas tegurannya mengenai kontroversi gambar percutian Nabila bersama teman lelakinya.

Amy atau nama sebenarnya Suhaimi Abdul Rahman, 56, berkata, Nabila sudah banyak berubah dan lebih kerap menghubunginya bagi memaklumkan apa yang sedang dilakukannya.

Alhamdulillah semuanya memang semakin baik terutamanya hubungan kami anak-beranak selepas insiden lalu, perubahan pada diri dia sendiri semakin matang.

"Walaupun jarang berjumpa tapi dia (Nabila Huda) hari-hari berhubung dengan saya melalui mesej WhatsApp untuk bertanya khabar dan bercerita," ujarnya kepada mStar Online.

Amy berkata demikian ketika diminta mengulas tentang hubungan mereka yang renggang gara-gara penyanyi itu menegur anaknya di laman Instagram dengan nada kasar selepas Nabila memuat naik gambar percutian dengan kekasihnya di luar negara. 
Nabila Huda lebih matang.

Bagaimanapun, pada sambutan Hari Raya pertama lalu, Amy telah berkongsi gambar dia sekeluarga di Instagram dengan meletakkan status syukur kerana akhirnya dia dan Nabila sudah berbaik semula.

Tambah Amy, dia sangat bahagia dan gembira dengan perubahan Nabila yang dilihatnya semakin matang dan hubungan mereka yang semakin baik.

Dalam pada itu, ditanya tentang hubungan cinta Nabila dengan seorang lelaki yang menjadi punca perbalahan mereka itu, Amy berkata dia tidak pernah menghalang sesiapa juga pilihan hati anaknya itu.

"Saya tidak halang dia berkawan dengan sesiapa pun cuma saya mahu dia memilih seorang lelaki yang baik dan boleh menjaganya. Sebagai bapa saya sentiasa doakan yang terbaik buat dia," katanya.

Sementara itu, Amy berkata apa juga kejadian dan kontroversi yang berlaku terhadap anaknya itu ia adalah satu kisah perjalanan hidupnya untuk menjadi lebih baik.

Dia tidak pernah meletakkan kesalahan tersebut kepada pelakon itu kerana setiap manusia mempunyai perjalanan hidup yang mengajar mereka menjadi seorang manusia.

"Saya pun pernah melalui kehidupan remaja dan bukan seorang yang sempurna, jadi saya anggap apa yang dia lalui sekarang ialah perjalanan hidup dia yang akhirnya mengajar dia menjadi seorang manusia yang lebih baik," katanya.

Dalam pada itu, menyentuh soal kerjaya, Amy berkata, dia akan mengadakan persembahan solo di Singapura pada 20 September ini manakala bersama kumpulannya Search pula dijadualkan pada Disember depan.

Dalam perkembangan yang sama, Amy juga dalam proses menyiapkan album solo terbaharunya yang memuatkan sebanyak 10 buah lagu setelah 13 tahun tidak merakamkan album.

Menurutnya, album tersebut merupakan sebuah projek istimewa yang menampilkan dia dalam sisi yang lebih segar dengan membawakan kesemua lagu genre terkini.

"Album solo ini merupakan kemunculan saya selepas 13 tahun tidak buat album, kali ini pula saya akan bawa lagu-lagu baru seiring dengan zaman ini.

"Walaupun saya tahu ada peminat Search yang masih mahu saya menyanyi lagu lama, namun saya rasa sudah masanya saya mencari kelompok peminat baru dengan lagu-lagu yang mengikut trend semasa," ujarnya.
Amy Search, Nabila Huda

Artikel Sebelum

Artikel Berikut