KUALA LUMPUR: Bersempena dengan sambutan Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) menerbitkan sebuah dokumentari sejarah negara berjudul Time Capsule Malaysia. Dokumentari ini turut mendapat kerjasama daripada pihak A+E Networks Asia dan saluran History Channel. Pengerusi Finas, Datuk Md Afendi Hamdan berkata, dokumentari ini mengisahkan tentang sejarah negara pada era 1950-an dan 1960-an terutamanya mengenai budaya masyarakat di zaman itu. Md Afendi Hamdan "Konsep penyampaian yang dipaparkan dalam dokumentari ini lebih santai di mana kita membandingkan budaya di era 50-an dengan sekarang. "Kita gabungkan ideologi pemikiran masyarakat pada zaman itu dan sekarang. Saya percaya penonton akan tertarik dengan dokumentari ini apatah lagi ia divisualkan lebih urban," katanya. Md. Afendi ditemui pada majlis pelancaran dokumentari Time Capsule Malaysia di Finas di sini pada Khamis. Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah Produksi dan Teknikal Finas, Dr. Megat Al-Imran Yasin dan pengarah produksi dokumentari tersebut, Chris Humphrey. Sementara itu, Afendi memberitahu, dokumentari itu akan disiarkan di seluruh Asia dan ia sekali gus dapat memperkenalkan sejarah negara ke peringkat antarabangsa. "Dari dahulu lagi setiap penerbitan dokumentari berkaitan sejarah negara, kita akan cuba memasarkan ke luar negara. Time Capsule Malaysia adalah salah satu program yang berjaya ke peringkat antarabangsa. "Saya percaya, menerusi penyampaian yang santai, ia mudah difahami oleh penonton-penonton luar juga," ujarnya. Time Capsule Malaysia yang dihoskan oleh Razif Hashim itu bakal disiarkan pada 14 September ini, pukul 9 malam menerusi saluran History (555) dan History HD (575) di Astro.