PETALING JAYA: Penyanyi Suki yang kini sedang hamil enam bulan mengakui cukup teruja menantikan kelahiran anak sulung lelaki yang dijangka akan lahir pada awal Disember depan. Suki atau nama sebenarnya Low Sook Yee, 24, berkata, keterujaannya itu membuatkan dia begitu bersemangat dalam mempersiapkan diri sebagai bakal ibu tidak kira daripada segi mental dan fizikal. "Biasalah, menjadi bakal ibu kepada anak sulung, banyak perkara yang kita perlu belajar dan saya mula serius membaca pelbagai buku mengenai perihal ibu-ibu mengandung. "Malah, saya turut memuat turun pelbagai aplikasi terutamanya berkaitan cara penjagaan makanan dan kesihatan buat ibu yang hamil di telefon bimbit," katanya kepada mStar Online. Tambah Suki, dia menjaga kesihatannya dengan makanan sihat selain mengamalkan senaman yoga bagi memudahkan proses kelahiran nanti. Sementara itu, kata juara program realiti One In A Million (OIAM) musim pertama, dia turut mengambil keputusan untuk tidak terlalu aktif dalam kerjaya seni sepanjang tempoh kehamilannya. "Saya tidak mahu tertekan dengan pelbagai kesibukan kerja. Tetapi tidaklah saya berehat terus sepanjang sembilan bulan mengandung. Cuma saya mengambil pendekatan untuk tidak terlalu aktif. "Sekurang-kurangnya saya dapat meluangkan masa untuk diri sendiri dalam membuat pelbagai persiapan sebelum anak saya lahir. "Dan selepas ini, saya mahu lebih fokuskan keluarga berbanding kerjaya," ujarnya. Suki mendirikan rumah tangga dengan pengurusnya, Jeremy Chong pada 12 Disember 2012 di sebuah majlis tertutup di Pulau Punang.