PETALING JAYA: Pelakon Zara Zya menganggap dakwaan kononnya hubungannya dengan aktor Fahrin Ahmad yang dilihat semakin mesra hanya gosip biasa. Zara atau nama sebenarnya Zainurul Razia Mohd Zainuddin, 29, bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai laporan berkenaan ketika ditanya lanjut mengenai perkara itu. "Saya tiada komen dan itu hanya gosip biasa sahaja," katanya ringkas menerusi aplikasi Whatsapp kepada mStar Online pada Ahad. Fahrin Ahmad. Sebuah akhbar mingguan dalam ruangan gosipnya melaporkan kedua-dua pelakon itu kelihatan mesra kerana sering berbalas komen di laman sosial Instagram milik Zara. Malah ada beberapa gambar yang dimuat naik oleh Zara turut dikomen oleh Fahrin dan peminat juga seakan-akan gembira melihat keakraban mereka berdua. Dalam pada itu, usaha mStar Online untuk mendapatkan kepastian lanjut mengenai hubungan sebenar pasangan berkenaan bagaimanapun tidak dibalas pelakon yang mula meningkat naik menerusi drama bersiri Love You Mr Arrogant itu.