PETALING JAYA: Pelakon dan pengacara Melodi, Sherry Alhadad tidak mengesyaki komen hinaan terhadapnya di Instagram kerana berbadan besar ditulis oleh individu dalam industri seni yang tidak berpuas hati selepas dia dipilih menjadi pengacara rancangan tersebut. Sherry, 30, bagaimanapun tidak menafikan ada beberapa pihak dan kenalannya bertanyakan mengenai hal tersebut namun dia menganggap perkara itu sekadar pandangan peribadi masing-masing. Saya tiada musuh dan berkawan baik dengan semua orang dan sebab itu saya tidak merasakan ada pihak cemburu dengan pemilihan saya dan Zulin sebagai pengacara Melodi. "Apa yang diperkatakan dalam komen-komen tersebut saya terima dan ia tidak langsung melemahkan semangat saya untuk terus memberikan terbaik," katanya kepada mStar Online. Dalam pada itu, Sherry berkata, jika benar ada pihak yang memang cemburu dan tidak berpuas hati dengan pemilihannya dia tidak dapat berbuat apa-apa tentang perkara itu. Sherry bakal muncul dalam teater Asrama-Ra All Stars pada Oktober depan. "Apa yang boleh saya katakan kasihan kepada orang tersebut," ujarnya. Sementara itu, Sherry mengakui dia masih berhati-hati dalam mengacarakan Melodi kerana tidak mahu dikatakan 'over' dan cuba membayangi dua lagi pengacara iaitu Awal Ashaari dan Zulin Aziz. Kata Sherry, sebagai pengacara bersama dia perlu menghormati rakan-rakannya yang lain namun semakin selesa bergandingan dengan mereka. "Masa awal-awal dulu ramai yang tegur kerana saya seperti tidak menjadi diri sendiri dalam Melodi tetapi saya harus hormat dua pengacara yang lain supaya suasana tidak menjadi bingit kerana kami bertiga. "Bagaimanapun sekarang kami semakin selesa dan tahu peranan masing-masing dalam mengendalikan program itu," jelasnya. Dalam perkembangan lain, Sherry berkata, dia bakal muncul dalam teater terbaharu iaitu berjudul Asrama-Ra All Stars yang bakal dipentaskan pada Oktober depan. Teater berkenaan mengangkat kisah kehidupan sekumpulan pelajar di sebuah asrama dan mengetengahkan isu-isu sosial berkaitan remaja. Barisan pelakon yang bakal menjayakan teater Asrama-Ra All Stars. "Seronoknya mengenai teater ini apabila saya berpeluang berlakon disamping nama-nama besar dalam industri lakonan dan teater yang juga kebanyakannya rakan-rakan saya sendiri. "Saya akan memegang watak sebagai cikgu di sekolah berkenaan dan pelbagai kisah menarik bakal dikupas dalam teater itu nanti," katanya. Tambah Sherry, dia gembira dapat kembali ke pentas teater selepas kali terakhir muncul menerusi Projek Kahwin awal tahun ini. Teater arahan Khairunazwan Rodzy itu bakal dipentaskan di KLPAC pada 16 hingga 19 Oktober depan dan turut menampilkan barisan pelakon seperti Sharifah Amani, Nadiya Nisaa, Dira Abu Zahar dan Amerul Afendi. Tiket untuk menyaksikan teater berkenaan dijual pada harga RM40 (tempahan awal) dan RM50. Tempahan dan pembelian boleh menghubungi Nik Chip Afiq di talian 010-7603101. Untuk maklumat lanjut sila layari laman Facebook dan Twitter: Revolution Stage.