suria

Album Tak Laku, Riz Zaizizi Nyaris Cari Kerja Lain

Riz pernah kurang mendapat tawaran nyanyian sehingga dia hampir mencari kerja lain. Foto ART CHEN

PETALING JAYA: Penyanyi Riz Zaizizi nyaris berputus asa apabila kerjaya nyanyiannya semakin merudum pada dua tahun lalu.

Riz atau nama sebenar Mohd Idris Mohd Zaizizi, 28, berkata, ketika itu dia semakin kurang mendapat tawaran nyanyian dan membuatkan dia mula membuat resume untuk mencari kerja lain.

"Saya hampir-hampir putus asa dan bertanya kepada diri, kenapa jadi macam ini? Ia tidak seperti yang dirancang dan album saya pun sia-sia saja kerana ia tak laku walaupun mengeluarkan bajet besar sebanyak RM100,000.

"Nak buat macam mana kerana industri seni muzik kita bukannya stabil selalu.

"Perkara itu membuatkan saya nyaris cari kerja lain, siap buat resume lagi. Tetapi entah kenapa saya tak jadi nak hantar resume itu kemana-mana tempat," katanya kepada mStar Online.

Bagaimanapun Riz yang juga bekas peserta Akademi Fantasia Musim Keenam (AF6) berkata, sokongan keluarga dan peminat membuatkan dia membatalkan niat untuk mencari kerja lain.

Riz kini di bawah naungan syarikat Kelarai Sakti.

Katanya, sementara ingin memulihkan kerjaya seninya, Riz mengambil inisiatif dengan membuka perniagaan jubah di Facebook iaitu My Wardrobe by Riz Zaizizi.
br /> Tidak lama kemudian, Riz terbaca status komposer LY bersama isterinya, penulis lirik Baiduri di Facebook ingin mencari penyanyi untuk bernaung di bawah syarikat mereka iaitu Kelarai Sakti dan Riz terus menghantar demo lagu kepada pasangan itu.

"Saya telah menjalani uji bakat dengan mereka dan tanpa membuang masa LY meminta saya menyanyikan sebuah lagu khas  terhadap insiden kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 berjudul Singkapkan Doa Kami.

Alhamdulillah, kemudian saya  merakamkan single lagu baru pula iaitu Sempurnakan Aku Dan Dia  yang bakal disiarkan di radio tidak lama lagi," ujarnya.

Sementara itu, Riz mengharapkan agar kerjayanya lebih cerah selepas menyertai Kelarai Sakti dan perkembangan itu dapat dilihat berdasarkan undangan persembahan dan projek-projek nyanyian yang dilakukan.

Saya pun tidak mahu meletakkan sebarang harapan. Cuma dengan ada pengurusan sendiri, diharap kerjaya seni saya makin terurus dan berkembang, Insya-Allah," tuturnya.
Riz AF6

Artikel Berikut

Artikel Lain