PETALING JAYA: Pelakon Den Wahab sudah malas untuk memikirkan dan mengharap wang sebanyak RM15,000 yang pernah dipinjam oleh penyanyi ND Lala, kira-kira 14 tahun lalu. Bagaimanapun, Den atau nama sebenarnya Zaharudin Abdul Wahab berkata, perkara tersebut tidak bermakna dia menghalalkan hutang tersebut walaupun setelah sekian lama tidak diselesaikan. "Entahlah, kalau dia rasa hutang itu penting dia akan bayar. Saya sudah malas nak fikir dan berharap dia akan membayarnya walaupun dia sudah kaya sekarang. "Tetapi bagi saya hutang tetap hutang dan saya tidak boleh lupa masa dia susah dulu merayu meminta tolong daripada kawan-kawan," ujarnya kepada mStar Online, ketika dihubungi di sini pada, Isnin. Den berkata demikian ketika diminta mengulas perkembangan kontroversi hutang yang dipinjam ND Lala sebanyak RM15,000 sekitar tahun 2000 bagi merakam lagu untuk sebuah parti politik. Katanya, bapa kepada penyanyi Shila Amzah itu tidak pernah menghubunginya selepas berjanji memulangkan wang tersebut secara ansuran. ND Lala bersama anaknya penyanyi Shila Amzah. Malah, katanya, ND Lala atau nama sebenarnya Amir Hamzah Salleh, 52, cuba melarikan diri apabila ternampaknya di majlis hiburan. "Saya tahu nilai tersebut tidak banyak tetapi sebagai orang Melayu beragama Islam, kita sepatutnya berpegang kepada janji. "Apa yang saya kesal dia rosakkan nilai persahabatan dan orang yang ikhlas membantu dia ketika susah. "Saya pernah ternampak ND Lala semasa satu persembahan di Istana Budaya dahulu, tetapi dia cuba mengelak selepas terserempak dengan saya," ujarnya. Mengimbau waktu itu, Den berkata, dia sudah dinasihatkan rakan-rakan artis yang lain agar tidak membantu penyanyi tersebut. Namun, dia tidak sampai hati dan sentiasa berfikiran positif untuk membantu sesama bangsa. Dalam perkembangan lain Den turut mengulas tindakan Shila Amzah yang mempersoalkan kredibiliti media Melayu sebagai sesuatu perkara yang tidak mengejutkannya. Tambahnya, sebagai artis berpengalaman dia menasihatkan agar penyanyi itu sedar tindakan yang dilakukan wanita itu akan merosakkan reputasinya sendiri. "Bila saya tahu cerita tentang Shila yang menempelak media sebagai tidak menyokong kerjayanya, saya tidak terkejut langsung. "Dia tidak sedar tindakan itu seperti kacang lupakan kulit dan merosakkan reputasi dia sendiri. Susah kalau orang sudah berada di puncak dan mereka selalu lupa orang yang tolong mereka ketika di bawah," katanya.