suria

Shahrol (Shiro) Sangkal Bercinta Dengan Anak Tiri Saleem (Iklim)

Shahrol mengakui dia kini masih solo dan tidak mempunyai teman wanita.

PETALING JAYA: Anggota kumpulan Shiro iaitu Shahrol menafikan gosip kononnya dia kini sedang bercinta dengan bekas finalis program Projek Metro iaitu Iera Fakhira, 24 tahun.

Sharol atau nama sebenarnya Shahrol Azizi Azmi, 30, bagaimanapun tidak menafikan mengenali wanita berkenaan namun hubungan mereka sekadar teman biasa.

"Saya kenal Iera tetapi gosip mengatakan kami bercinta itu tidak benar dan hubungan kami sekadar kawan biasa sahaja," katanya kepada mStar Online ketika dihubungi di sini pada Selasa.

Iera atau nama sebenarnya Nurfakhira Che Abdul Muhsin, 24, adalah anak tiri kepada penyanyi Saleem (Iklim) iaitu anak kepada isterinya, Juriah Bachok dengan suami terdahulu.

Dalam pada itu, Shahrol memberitahu, dia dan Iera sudah lama tidak bertemu ekoran wanita berkenaan kini tidak berada di dalam negara kerana bertugas dengan sebuah syarikat penerbangan antarabangsa.

Iera Fakhira.

Jelas Shahrol, gosip kononnya dia bercinta dengan Iera tidak perlu diperbesarkan kerana tidak wujud sebarang hubungan cinta di antara mereka.

"Tiada apa-apa pun, kawan sahaja. Tambahan pula dia kini tidak berada di Malaysia kerana bertugas sebagai pramugari dengan sebuah syarikat penerbangan antarabangsa.

"Sebelum ini dia adalah pramugari syarikat AirAsia. Kami pun sudah lama tidak berhubung di antara satu sama lain," jelasnya.

Sementara itu, Shahrol memberitahu, dia kini masih solo dan belum terfikir untuk mencari teman wanita kerana sibuk dengan kerjaya seninya sebagai pelawak.

"Belum ada sesiapa lagi kerana tidak mempunyai masa untuk memikirkan soal peribadi dan fokus saya kini adalah berkaitan kerja," katanya.

Dalam perkembangan lain, Shahrol berkata, dia kini sibuk rakaman program Sukalattew di Astro Warna selain terlibat dalam Super Spontan bersama seorang lagi ahli Shiro iaitu Ajak.

Shahrol, Shiro, Iera Fakhira

Artikel Sebelum

Artikel Lain