KUALA LUMPUR: Hasrat Pengarah filem veteran, Datuk Jamil Sulong, 88, untuk bercuti di kampung halamannya di Janda Baik, Bentong, Pahang tidak kesampaian selepas diserang penyakit angin ahmar kira-kira sebulan lalu.
Anak kedua Allahyarham iaitu Dr Anwardi Jamil, 55, bagaimanapun berkata, Allahyarham kelihatan gembira dapat meraikan hari jadi salah seorang cucunya beberapa hari sebelum dijangka berangkat ke Janda Baik yang mana turut disertai oleh ahli keluarga lain.
"Beberapa hari sebelum arwah terkena serangan strok beliau ada meminta untuk balik bercuti di kampung halamannya di Janda Baik namun perancangan itu terpaksa dibatalkan kerana beliau secara tiba-tiba terkena serangan strok.
"Bagaimanapun sebelum itu, Allahyarham sempat bersama-sama menyambut hari jadi salah seorang cucunya dan dia cukup gembira ketika itu apabila kami sekeluarga berkumpul," katanya kepada mStar Online.
Anwardi ditemui di Masjid Al-Ghufran Taman Tun Dr Ismail di sini pada Jumaat.
Jenazah Allahyarham dibawa ke masjid berkenaan untuk dimandikan, dikafankan dan disembahyangkan sebelum dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Janda Baik, Bentong, Pahang untuk pengebumian.
Allahyarham dijangka dikebumikan selepas selesai solat Jumaat.
Jamil meninggal dunia di rumah anaknya di Bukit Damansara di sini kira-kira pukul 9.35 malam Khamis selepas kira-kira sebulan dirawat Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dekat sini.
Dalam pada itu, Anwardi berkata, pihak hospital pada Rabu lalu membenarkan bapanya pulang ke rumah namun keadaannya stabil.
Bagaimanapun kata Anwardi, keadaan bapanya tiba-tiba nazak pada malam Khamis sebelum meninggal dunia di sisi isteri, Datin Rosnani dan beberapa ahli keluarga lain.
"Ayah dibawa pulang ke rumah pada pagi Khamis dan keadaannya stabil biarpun masih dalam keadaan koma namun tidak sangka pada sebelah malamnya dia tiba-tiba sesak nafas sebelum meninggal dunia dengan tenang pada 9.35 malam.
"Kami sekeluarga reda dengan pemergiannya tambahan pula arwah dijemput Allah pada malam Jumaat 1 Zulhijah," katanya.
Sementara itu, balu Allahyarham, Rosnani yang kelihatan sugul memohon maaf kerana belum bersedia untuk memberikan sebarang kenyataan tentang pemergian suaminya itu.
"Maafkan saya, fikiran saya kini kosong dan tidak tahu apa yang perlu dikatakan," ujarnya ringkas.
Dalam perkembangan sama, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang turut hadir menziarahi jenazah Allahyarham berkata, pemergiaan Jamil adalah suatu kehilangan besar kepada industri filem negara.
Jelas Shabery, bakat luar biasa dimiliki Allahyarham dalam pengarahan filem pada zaman kegemilangannya sukar dicari ganti dan pemergiannya akan sentiasa dikenang.Filem-filem arahannya seperti Batu Belah Batu Bertangkup, Si Tanggang, Lela Manja, Bidasari dan Raja Bersiong.
Karya arahan Allahyarham juga banyak merangkul anugerah bukan sahaja dalam negara tetapi juga peringkat antarabangsa.
Allahyarham juga turut terlibat menghasilkan gurindam selain menulis dan mencipta lagu-lagu untuk P.Ramlee termasuk Berkorban Apa Saja, Tiru Macam Saya, Selamat Hari Raya Aidilfitri dan Azizah.
Selain isteri, Allahyarham turut meninggalkan empat orang anak iaitu Murniaty, 60, Arjunaidi, 57, Anwardi, 55, dan Asnadi, 48, serta lapan orang cucu.