suria

Zed Zaidi Menang Rebut Jawatan Presiden Seniman

KUALA LUMPUR: Pelakon Zed Zaidi berjaya kembali mendapat kepercayaan ahli Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) untuk menerajui kepimpinan sebagai presiden apabila mendapat 109 undian pada Mesyuarat Agung Tahunan Ke-14 persatuan itu.

Majlis berlangsung di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) di sini pada Sabtu.

Zed berjaya mengalahkan pesaingnya, Datuk Mustapha Maarof yang hanya meraih 71 undi dan Afdlin Shauki (66 undian).

Timbalan presiden pula disandang oleh Zack (Kool) selepas meraih 103 undian menewaskan Sabri Fadil (30), Afdlin Shauki (71), Sofea Jane (32).

Pelakon Zahrin Ishak dipilih sebagai Setiausaha Kehormat, penolongnya disandang oleh Rena Tan manakala Vanidah Imran menyandang jawatan Bendahari.

Tujuh Ahli Jawatan Kuasa (AJK) Seniman pula disandang oleh Sofia Jane, Jamaludin Mat (Abang Jem), Khir Rahman, Sharifah Amani, Lisa Surihani, Arash Mohamad, dan Rashidi Ishak.

Pelakon Dira Abu Zahar dan Adlin Aman Ramli menyandang jawatan sebagai juruaudit.

AGM Seniman Ke-14 dikendalikan oleh Pengerusi Sementara iaitu Datuk Yusof Haslam dan Jurey Latiff Rosli sebagai pemerhati.

Ketika pemilihan sedang berlangsung, suasana menjadi sedikit tegang apabila beberapa ahli mempertikaikan kredibiliti calon yang dipilih oleh ahli.

Bagaimanapun keadaan masih lagi terkawal dan pemilihan berlangsung dengan lancar.

Kira-kira lebih 1,000 ahli Seniman hadir pada mesyuarat AGM tersebut dan ini merupakan perjumpaan yang dihadiri ramai selebriti lama dan baru.

Antara selebriti lain yang turut hadir termasuklah Bront Palarae, Hans Isaac, Fauziah Nawi, Nadia Nissa, Sherry Alhadad, Azhan Rani, Remy Ishak dan Susan Lancaster.

Terdahulu Zed pernah memegang jawatan presiden Seniman bagi AGM ke-14 hampir sepenggal sebelum ia dibatalkan atas perintah mahkamah pada 21 November tahun lalu dan jawatan itu adalah tidak sah.

Pada 25 Januari 2013, lima artis veteran telah memfailkan saman terhadap Seniman termasuk pemimpin-pemimpinnya bagi mendapatkan perintah mahkamah untuk mengisytiharkan AGM ke 14 persatuan berkenaan tidak sah kerana disyaki berlaku penyelewengan dan beberapa perkara termasuk pemalsuan pindaan undang-undang.

Lima artis veteran berkenaan yang dinamakan sebagai plaintif ialah Abu Bakar Omar, Sahlan Sudiran (Sahlan), Roslinda Buang, Mior Ahmat Zaudi Mior Ali dan Datuk Abdullah Sani.

Kemudian, pada 21 November 2013, Pesuruhjaya Kehakiman, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Rosilah Yop memutuskan apa-apa pemilihan ahli jawatankuasa Seniman yang dibuat dalam Mesyuarat Agung Ke-14 yang diadakan 26 Mei 2012 di Dataran Karyawan Finas, dekat sini adalah terbatal dan tidak sah.

Rosilah turut memerintahkan defendan kedua hingga keempat iaitu bekas presiden persatuan itu Haron Aminar Rashid Salim (Harun Salim Bachik), Omar Kamarudin (Yusof Kelana) dan Wafa A.Kadir membayar ganti rugi khas sebanyak RM56,000 berhubung pembelian hartanah di Setiawangsa kepada Seniman.

Turut dinamakan sebagai defendan ialah Rozaidi Jamil (Zed Zaidi), Elyas Ismail, Syed Ahmad Nahar Syed Mokhtar (Sean) dan Zaharudin Wahab (Den Wahab).

Beliau juga turut memerintahkan ketujuh-tujuh defendan berkenaan membayar kos tindakan sebanyak RM60,000 kepada pihak plaintif.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan