suria

Tasha Shilla Sangkal Mengamuk Mahu Cari Dalang Fitnah

Tasha Shilla
PETALING JAYA: Pelakon Tasha Shilla menyangkal dakwaan kononnya dia mengamuk di sebuah lokasi penggambaran gara-gara ingin mencari dalang yang menyebarkan fitnah selepas dikatakan 'berasmara' dengan teman lelakinya, Han.

Tasha atau nama sebenarnya Natasha Sheila Abd. Razak, 27, berkata, dia pelik bagaimana cerita terbaharu itu boleh timbul dan berharap segala khabar tidak benar tentangnya dihentikan.

"Apa yang ditulis adalah tidak benar dan saya harap hentikanlah segala cerita-cerita yang tidak benar tentang diri saya.

"Berilah saya ruang yang tenang untuk saya jalankan kerja saya," katanya kepada mStar Online menerusi pesanan WhatsApp di sini pada Ahad.

Menerusi laporan sebuah akhbar mingguan, rakan artis yang rapat dengan pelakon itu memberitahu tindakan Tasha mengamuk itu adalah kesan daripada dakwaan tersebut yang dirasakan sangat besar dan mengaibkan.

Hubungan Tasha dan Han sentiasa mendapat perhatian.

Disebabkan perkara itu, penggambaran terpaksa dihentikan dan semua pihak yang bekerja dalam produksi itu cuba memujuk dan menenangkan Tasha.

Dalam pada itu, Tasha berkata, dia tidak mampu untuk menahan mana-mana pihak daripada bercakap perkara buruk tentang dirinya dan kesal dengan kontroversi terbaharu itu.

Jelas Tasha lagi, dia sedar bukan semua orang sukakannya namun dia berharap diberi ruang untuk memberi fokus kepada kerjayanya sebagai pelakon dan bukannya terhadap cerita gosip murahan.

"Saya sedar saya tidak mampu untuk menutup mulut semua orang malahan saya juga sedar tidak semua sukakan saya. Sekali lagi berilah saya ruang," jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Tasha berkata, dia kini sedang berada di Kuantan, Pahang untuk menjalani sesi penggambaran drama bersiri berjudul Takbir Zulaikha untuk slot Samarinda di TV3.

Tasha Shila, Han.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan