suria

Yusof Haslam Berjaya Pujuk Syamsul Berlakon Bersama

Yusof teruja dapat berlakon disamping anaknya Syamsul Yusof dalam siri Gerak khas.
PETALING JAYA: Penerbit dan pengarah filem Datuk Yusof Haslam teruja dapat berlakon disamping anaknya, Syamsul Yusof dalam musim terbaharu drama besiri Gerak Khas yang bakal bersiaran di RTM 2 dalam masa terdekat.

Yusof, 60, berkata, gandingan mereka berdua sebagai pegawai polis itu adalah kali pertama dan hasratnya untuk berlakon dengan Syamsul akhirnya termakbul.

"Alhamdulillah saya individu paling teruja dapat berlakon dengan Syamsul dalam Gerak Khas kerana ia merupakan gandingan pertama kami sebagai pelakon.

"Saya sudah lama minta Syamsul terlibat dalam drama bersiri itu tetapi kesibukannya sebagai pengarah membuatkan hasrat itu sentiasa terbantut," katanya kepada mStar Online ketika dihubungi pada Isnin.

Dalam pada itu, Yusof berkata, Syamsul bakal memegang watak sebagai Superitendan Polis menerusi musim terbaharu itu dan hanya akan muncul pada episod ketujuh Gerak Khas.

Gandingan anak beranak ini dapat disaksikan dalam drama bersiri Gerak Khas musim terbaharu.


Jelasnya lagi, Syamsul turut memberikan komitmen yang cukup baik sepanjang penggambaran berlangsung malah turut bertindak sebagai pengarah untuk beberapa episod drama kepolisian itu.

"Kemunculan Syamsul bukan untuk satu episod sahaja tetapi wataknya bermula pada episod tujuh dan kerjasama pertama kami sebagai pelakon cukup menyeronokkan kerana dia juga turut memberi idea bagi membolehkan drama itu tampil segar untuk musim terbaharu.

"Gerak Khas sangat berharga kepada Skop Production dan saya sebagai penerbit ingin melihat drama ini berterusan untuk jangka masa panjang," katanya.

Tambah Yusof, selain Syamsul, Gerak Khas juga bakal memperlihatkan penampilan wajah-wajah baharu dengan beberapa kejutan lain dalam menarik perhatian penonton baharu.

Sementara itu, Yusof berkata, dia bangga melihat perubahan positif Syamsul yang sebelum ini merajuk untuk meneruskan kariernya sebagai pelakon dan pengarah gara-gara karyanya, KL Gangster dicetak rompak sebelum sempat ditayangkan.

Jelas Yusof, sebagai bapa dia sentiasa berada di belakang anaknya itu untuk memberi sokongan dan yakin Syamsul akan bangkit semula daripada kekecewaannya sebelum ini.

"Semenjak berkahwin dia sangat positif dan kembali berkeyakinan untuk meneruskan kerjayanya dan saya sebagai bapa sangat gembira dan bangga akan perubahan dia.

"Alhamdulillah dia sudah tidak merajuk dan kini sibuk dengan aktiviti lakonan dan kerja-kerja produksi," ujarnya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain