PETALING JAYA: Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) menganggap pemilik syarikat produksi Unique Twins Sdn Bhd iaitu Diana Johor dan adiknya Lina Johor berbohong dan cuba melepaskan diri daripada menjelaskan hutang selain kemelut lain dalam produksi terbabit. Presiden Karyawan, Datuk Freddie Fernandez berkata, sehingga kini pihak produksi milik artis tersebut belum menghubungi persatuan bagi menyelesaikan isu berkaitan wang bayaran tertunggak kepada pelakon dan kru penggambaran secara baik. "Kenyataan dia (Diana Johor) pada sebuah akhbar kononnya tidak pernah mematikan talian telefon adalah bohong sama sekali. "Pihak kami sudah beberapa kali cuba hubungi dia sebelum ini sehingga saya meninggalkan mesej agar dia hubungi saya kembali, namun sampai sekarang tiada apa-apa reaksi untuk dia selesaikan isu ini, dia memang tidak menjawab panggilan telefon darpada kami. "Mungkin dia hanya bercakap dengan wartawan yang baik dan mengenalinya sahaja," ujar Freddie ketika dihubungi mStar Online, di sini, Khamis. Freddie berkata demikian ketika diminta mengulas tentang status perkembangan tuntutan bayaran oleh pelakon dan organisasi yang telibat dengan penggambaran filem Rentap yang bernilai hampir RM100,000. Freddie Fernandez Diana pernah membuat kenyataan dalam sebuah akhbar yang antara lain kecewa dengan Karyawan kerana mendedahkan perkara berkenaan kepada pihak media tanpa berusaha untuk menghubunginya terlebih dahulu bagi menyelesaikan masalah. Sementara itu, Freddie mengakui kesal dengan tuduhan pelakon itu yang menganggap Karyawan tidak profesional dan mengaibkan dirinya. Jelas Freddie, sidang media yang dilakukan minggu lalu bagi mendedahkan perkara tersebut merupakan jalan terakhir selepas usaha menghubungi mereka yang berkenaan gagal. "Kita bukan sengaja mahu mengaibkan dia, pihak kami sudah cuba selesaikan perkara ini secara baik terlebih dahulu, namun gagal. Bagi saya, dia yang tidak profesional dan tidak layak untuk menjadi penerbit dalam menghasilkan sebuah filem," ujarnya. Dalam pada itu, Freddie memberi tempoh seminggu sahaja lagi untuk pelakon tersebut menghubunginya sebelum perkara ini dibawa kepada tindakan undang-undang. Sementara itu, pengarah filem tersebut, Hashim Rejap yang dihubungi tidak dapat memberikan sebarang komen berikutan masih menunggu perkara tersebut diselesaikan oleh pihak pengurusannya iaitu Metrowealth. "Maaf sangat saya tidak boleh beri komen sehingga pihak pengurusan saya selesaikan perkara ini dengan produksi tersebut. Insya-Allah lepas dapat persetujuan daripada pengurusan nanti baru saya buka mulut," ujarnya yang turut didakwa gagal menjalankan tanggungjawab sebagai pengarah filem itu sehingga mengakibatkan kerugian. Terdahulu pada 25 September lalu, tiga individu yang terlibat dengan filem Rentap tampil dalam satu sidang media anjuran Karyawan mengenai soal kewangan yang perlu dijelaskan produksi terbabit. Manakala, pelakon tersebut turut membuat penjelasan di sebuah akhbar bahawa tindakan persatuan Karyawan membuat sidang media tersebut hanya mengaibkan dirinya dan tidak profesional. Usaha mStar Online untuk menghubungi Diana Johor gagal apabila panggilan telefon yang dibuat tidak dijawab.