suria

Ada Pihak Cuba Lagakan Usop Wilcha Dengan Mamat Khalid

Usop Wilcha nafi bermasam muka dengan Mamat Khalid.

PETALING JAYA: Pelakon komedi Shy8 atau lebih dikenali sebagai Usop Wilcha menganggap ada pihak yang tidak berpuas hati dengan dirinya dan mengambil kesempatan untuk melaga-lagakan serta mengeruhkan hubungan dia dengan pengarah Mamat Khalid.

Usop atau nama sebenarnya Syed Mohammed Asri Syed Osman Jamalulail, 49, berkata, dia tidak mempunyai sebarang masalah dengan pengarah yang sudah dikenalinya sejak 15 tahun yang lalu.

"Saya tahu ada pihak yang tidak berpuas hati dengan saya dan mengambil peluang ini untuk melaga-lagakan kami berdua, namun sebenarnya tidak ada apa yang perlu dibesarkan dengan cerita yang disebarkan itu.

"Saya dengan abang Mamat Khalid sudah berkawan sejak tahun 1999 lagi, kami memang berkawan rapat dan sudah mengetahui cara kerja masing-masing sebab itu saya senang dengan hasil kerja dia," ujarnya kepada mStar Online, di sini, Isnin.

Mamat Khalid

Usop Wicha berkata demikian ketika diminta mengulas tentang laporan di ruangan pojok sebuah akhbar mingguan tentang hubungan kedua-dua selebriti ini saling bermasam muka.

Usop didakwa buat perangai di lokasi penggambaran filem Usop Wilcha Melawan Werewolf Dari Bangladesh (UWMWDB) dan bertindak melempar baju ke muka penjaga kostum.

Manakala, Mamat pula dikatakan tidak memberi kerjasama dan sering kali mengubah skrip ketika penggambaran filem Usop Wilcha Menggonjang Makhluk Muzium (UWMMM) yang diterbitkan sendiri oleh Usop Wilcha.

Dalam pada itu, Usop berkata, ketegasannya dalam menguruskan produksi ketika penggambaran filem UWMMM itu dilihat seperti terjadinya perselisihan faham berlaku antara dia dan pengarah itu.

Bagaimanapun, jelasnya, ia merupakan perkara biasa yang berlaku secara profesional antara seorang pengarah dan penerbit.

"Saya sudah tahu dan tidak ada masalah dengan cara kerja Mamat dan sebab itu saya berani panggil dia mengarah untuk filem terbitan saya yang pertama.

"Bohonglah kalau kami tidak ada bergaduh, namun ia adalah secara profesional. Sebagai penerbit banyak yang saya perlu fikir, mana mahu berlakon, jaga bajet dan kos-kos lain lagi.

"Mungkin daripada situ ada pihak ambil peluang itu untuk sebarkan cerita tersebut biar kami betul-betul bergaduh," katanya.

Sementara itu, mengulas tentang tindakannya yang dikatakan buat perangai di lokasi, jelasnya, ia tidak benar sama sekali.

Katanya, sepanjang bergelar artis, dia sentiasa mempunyai hubungan baik dengan rakan pelakon dan kru produksi.

"Saya pelik juga dari mana mereka dapat cerita saya lepar baju tersebut, saya tidak pernah buat begitu dan buat hal di lokasi.

"Perkara tersebut seperti ingin memburukkan nama saya dalam industri ini," katanya.

Sementara itu, Mamat Khalid yang dihubungi, enggan memberi sebarang komen dan menyerahkan kepada Usop bagi menjelaskan perkara itu.

Usop Wilcha, Mamat Khalid

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan