PETALING JAYA: Ketua Pegawai Eksekutif, Metrowealth International Group (MIG) iaitu David Teo memastikan artis bawah naungannya dapat membeli sekurang-kurangnya sebuah rumah sebagai jaminan masa depan masing-masing. David berkata, dia bersikap demikian kerana tidak mahu melihat mereka mensia-siakan wang hasil lakonan dengan menghabiskannya kepada perkara yang tidak mendatangkan keuntungan. "Artis-artis sekarang kalau ada duit lebih suka beli kereta dan beg tangan berjenama daripada membeli rumah. "Sikap ini yang ingin saya kikis kerana mereka perlu sedar pelaburan dalam bidang hartanah menjamin masa depan mereka kelak," katanya kepada mStar Online. David ditemui pada sidang media Karnival Puncak Rasah Andaman Seremban yang diadakan di pejabat MIG di sini pada Isnin. Turut hadir pada majlis itu adalah Ketua Eksekutif Kumpulan Andaman, Datuk Seri Vincent Tiew. Dalam pada itu, David mengakui sukar untuk mengubah mentaliti artis naungannya tentang kepentingan membeli rumah namun dia sentiasa menasihati mereka supaya tidak menyesal di kemudian hari. David menyerahkan borang permohonan membeli unit apartmen di Puncak Rasah Andaman, Seremban oleh artis dan kakitangan MIG kepada Vincent. Jelas David, punca utama mereka enggan membeli rumah adalah kerana perasaan takut tentang komitmen ditambah dengan kurang pendedahan dalam proses membeli hartanah dengan betul. "Saya tidak mahu apabila mereka tua nanti mereka terpaksa merayu untuk mencari tempat tinggal dan terpaksa mengharapkan ihsan orang lain. "Sebab itu saya paksa mereka untuk membeli rumah kerana ia jaminan masa depan mereka dan sekurang-kurangnya jika sudah tidak berlakon mereka sudah ada kediaman sendiri," ujarnya. David turut memuji sikap artis seperti Lisa Surihani, Farid Kamil, Nora Danish dan Shaheizy Sam yang bijak menggunakan wang hasil lakonan mereka untuk melabur dalam bidang hartanah. Sementara itu, David berkata, kerjasama di antara MIG dan Kumpulan Andaman membuka ruang kepada artis di MIG untuk memiliki rumah sendiri dengan harga berpatutan. Malah karnival yang bakal diadakan itu nanti membuka ruang kepada semua penggiat seni untuk memiliki hartanah untuk bekalan masa hadapan. "MIG sangat serius dalam menguruskan perancangan masa depan artis dan pekerja syarikat kami dalam memastikan mereka faham bahawa pelaburan dalam hartanah sebenarnya menguntungkan. "Saya mahu lihat mereka semua ada aset sendiri dan mungkin sekarang ia lihat seperti membebankan namun suatu kesenangan pada masa hadapan," ujarnya. Karnival tersebut bakal diadakan pada 18 Oktober ini di Taman Puncak Rasah, Seremban dengan kehadiran artis terkenal seperti Diana Amir, Adeline Tsen, Shima Anuar, Fadlan Hazim, Ryzal Jaafar dan Zalif Sidek.