suria

Sofi Jikan Tolak Tawaran, Hanya Berlakon Filem Sendiri

Sofi bakal mengarahkan filem pertamanya berjudul Gangster Rock Kasi Sengat.
PETALING JAYA: Pelakon Sofi Jikan mengambil sikap untuk menolak tawaran berlakon filem daripada mana-mana syarikat produksi lain sebaliknya hanya akan berlakon dalam filem arahannya sahaja.

Sofi atau nama sebenarnya Muhammad Soffi Jikan, 44, berkata, dia nekad dengan keputusan itu kerana sudah bosan dengan situasi industri yang tidak banyak berubah selain watak diberikan kepadanya stereotaip.

"Kecil hati itu memang ada tetapi saya sudah tunggu terlalu lama untuk melihat situasi itu berubah tetapi tiada apa yang berlaku.

"Sebab itu saya tidak mahu lagi berlakon dalam produksi lain dan hanya akan berlakon dalam filem arahan saya sendiri sahaja selepas ini," katanya kepada mStar Online.

Sofi yang terkenal dengan pelbagai watak gengster sebelum ini pernah memberitahu mahu meninggalkan bidang lakonan kerana kecewa dengan layanan diterimanya sejak bergelar pelakon hampir 20 tahun lalu.

Dalam pada itu, Sofi berkata, keputusannya itu dapat memberinya peluang untuk membersihkan namanya daripada pandangan skeptikal peminat yang sering melihat dia hanya memegang watak gengster sahaja.

"Saya sudah penat asyik membawakan watak sama sehingga ada yang memandang negatif terhadap saya dan sudah tiba masanya saya sendiri mengubah keadaan tersebut," katanya.

Sementara itu, Sofi berkata, peluang mengarahkan filem pertamanya iaitu Gangster Rock Kasi Sengat akan digunakan sebaik-baiknya dan dia akan membuktikan kebolehannya sebagai seorang pelakon dan pengarah.

Jelas Sofi lagi, geran yang diterima daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) sebanyak RM400,000 untuk menyiapkan filem berkenaan adalah pemangkin semangat untuk dia menghasilkan karya terbaik.

"Insya-Allah kepercayaan diberikan tidak akan saya sia-siakan dan geran tersebut sebagai amanah untuk saya menghasilkan yang terbaik untuk peminat semua," katanya.

Filem tersebut adalah usaha samanya dengan penerbit Yusof Kelana dan Serina Redzuwan menerusi syarikat produksi YKS Film Maker Sdn Bhd.

 

Artikel Lain