suria

Isu Masalah Disiplin, Aishah Ilias Mohon Maaf

Aishah Ilias

PETALING JAYA: Pelakon baharu, Aishah Ilias memohon maaf kepada mana-mana syarikat produksi yang mungkin berkecil hati apabila dia dikatakan bersikap kurang ajar dan tidak berdisiplin.

Aishah atau nama sebenarnya Siti Aishah Ilias, 27, menjelaskan, rasa kurang senang itu mungkin berpunca daripada salah faham komunikasi antaranya serta individu yang terbabit.

"Kalau ada pihak tidak berpuas hati dengan sikap saya yang dikatakan kurang ajar, saya memohon maaf kepada individu itu. Mungkin nada atau kata-kata saya ketika itu buatkan mereka tersinggung tanpa saya sedar.

"Tetapi tidak tahu pula jika saya dianggap tidak berdisiplin kerana setakat ini saya memberi komitmen kerja sepenuhnya. Cuma ada la sekali dua saya lambat ke set. Itu pun tak sampai setengah jam," katanya kepada mStar Online apabila diminta komen mengenai laporan kononnya dia tidak berdisiplin dan menimbulkan masalah di set penggambaran.

Pelakon itu turut dikatakan tidak menghormati kru serta beberapa pelakon senior.

Sementara itu, Aishah berkata, laporan tersebut tidak membuatkan dia berkecil hati kerana ia sebagai satu pelajaran tetapi berasa sedikit risau kerana ia mungkin menjejaskan kariernya pada masa depan.

"Tipulah jika saya tidak risau dengan isu yang timbul ini. Tetapi sebagai pendatang baru, banyak perkara yang perlu saya belajar untuk menjadi seorang pelakon yang matang dan profesional.

"Sekali lagi, saya ingin memohon maaf, mungkin saya ada terlanjur kata atau tingkah laku sehingga membuatkan orang kurang senang. Apa-apa pun saya tetap menerima setiap teguran dengan hati terbuka," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Aishah masih lagi memberi tumpuan sepenuhnya terhadap telenovela 130 episod iaitu Cinta Ibadah yang masih lagi dalam penggambaran.

Katanya, sejak drama itu disiarkan, dia menerima pelbagai tawaran lakonan namun terpaksa menolaknya kerana mahu memberikan komitmen terhadap penggambaran tersebut.

Cinta Ibadah siaran disiarkan di Astro Prima setiap Isnin hingga Jumaat, pukul 5 petang sejak 8 September 2014.

Aishah Ilias, Cinta Ibadah

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain