suria

Eina Azman Akui Hilang Populariti Akibat Kontroversi Afiq Muiz

Eina Azman

PETALING JAYA: Pelakon Eina Azman mengakui kontroversi yang pernah tercetus antaranya dengan aktor Afiq Muiz pada tahun lalu membuatkan dia kurang diminati di kalangan segelintir masyarakat.

Eina atau nama sebenarnya Ainur Syakina Azman, 19, berkata, selepas kejadian itu, dia mula memperbaiki diri dan menjadikan perkara itu sebagai satu pengajaran besar untuk bersikap lebih matang.

"Orang kata pengalaman itu satu pengajaran. Itu yang saya rasa sekarang ini. Apa yang dah berlaku sebelum ini saya jadikan sebagai pembelajaran hidup untuk menjadi seorang yang lebih berfikiran matang.

"Dan rasanya saya sudah membaiki sikap keanak-anakan itu. Alhamdulillah, orang mula menerima saya sedikit demi sedikit," katanya kepada mStar Online.

Terdahulu, kontroversi antara Eina dan Afiq tercetus apabila aktres itu dikatakan menjadi punca Afiq menderhaka kepada ibunya sehingga tidak pulang ke rumah.

Eina gembira drama Selamat Pengantin Baru mendapat perhatian ramai.

Dalam pada itu menurut Eina, dia mula merasakan mempunyai tambahan peminat sejak membintangi drama bersiri Selamat Pengantin Madu yang kini masih bersiaran di TV3 setiap Khamis, pukul 9 malam.

Katanya, ini menunjukkan masyarakat masih lagi memberi peluang untuknya menonjolkan bakat yang ada.

"Mula-mula ketika menerima watak antagonis, risau juga kerana sudahlah orang tak berapa nak suka saya, berlakon watak jahat juga pasti akan ada kesannya.

"Memang benar, orang menyampah melihat saya dalam drama itu tetapi mereka sukakan lakonan saya. Peminat saya makin bertambah hanya kerana drama ini sahaja," ujarnya.

Dalam pada itu Eina berkata, dia juga sering mendapatkan tunjuk ajar daripada aktres Fasha Sandha yang turut membintangi Selamat Pengantin Madu selain menjaga disipllin di lokasi penggambaran.

"Saya percaya, menjaga disiplin kerja akan membuatkan mana-mana pihak pun senang dengan kita. Saya harap akan mengekalkan prestasi kerja sebaik mungkin," tuturnya.

Eina Azman

Artikel Lain