KUALA LUMPUR: Penyanyi Noh Salleh tidak mahu ambil mudah dengan populariti yang ada dalam usaha mempromosikan lagu nyanyiannya dalam album solo berjudul Angin Kencang. Noh atau nama sebenarnya Mohammad Noh Salleh, 30, berkata, dia mahu bermula daripada bawah dan seolah-olah seperti artis baharu bagi memberi persaingan yang sihat kepada industri muzik tempatan. "Saya tidak akan guna nama dan populariti yang ada untuk minta lagu-lagu saya diputar di radio, biar lagu tersebut dipromosikan menggunakan langkah seperti mana artis-artis baharu yang lain. "Saya mahu dikenali dan bersaing secara sihat seperti artis baru, kalau radio ingin mainkan lagu saya biarlah kerana atas permintaan peminat dan bukan kerana nama saya," ujarnya kepada mStar Online. Noh ditemui pada pelancaran album solo pertamanya berjudul Angin Kencang di White Box Publika, di sini, pada Selasa. Noh Salleh Album tersebut memuatkan enam buah lagu ciptaan sendiri iaitu Angin Kencang, Gelung, Biar Seribu, Bunga Di Telinga, Sang Penikam dan Angin Kencang versi piano. Dalam pada itu, Noh berkata, dia mengambil masa selama dua tahun dalam pembikinan album tersebut. "Saya puas dengan semua hasil lagu dalam album ini kerana ia merupakan genre muzik franch pop era yang saya inginkan. "Proses pembikinan selama dua tahun yang mana saya tidak begitu terburu-buru dan dapat berkarya dengan tenang," ujarnya. Dalam pada itu Noh berkata, dia mempunyai perancangan untuk membawa produk tersebut untuk dipasarkan di Indonesia. Jelasnya, genre french pop lebih diterima di negara jiran itu berbanding Malaysia. "Ini merupakan album yang saya buat untuk kepuasan diri dalam muzik, saya tahu tidak semua masyarakat negara ini menerima genre ini. "Namun, sebaliknya di Indonesia lebih terbuka dan menerima muzik seperti ini dan saya juga ada perancangan untuk cuba pasaran negara itu," ujarnya.