PETALING JAYA: Salah seorang anggota Hijjaz iaitu Ariffin Rahim berjanji tidak akan meninggalkan kumpulan itu walaupun dia tampil dengan album solonya berjudul Qiyamullail. Ariffin atau nama sebenarnya Muhammad Ariffin Abdul Rahim, 35, berkata, Hijjaz sudah sebati dengan jiwanya dan tidak mungkin untuk dia meminggirkan kumpulan yang disertainya sejak tahun 2002. "Walaupun tampil dengan album solo, keutamaan tetap diberikan kepada Hijjaz. Dan Insya-Allah, hebat mana sekalipun projek album solo, saya tidak akan keluar daripada kumpulan ini. "Lagipun genre album solo saya jauh berbeza dengan muzik Hijjaz," katanya kepada mStar Online. Antara aris dan tulang belakang Media Asia Production. Arrifin ditemui pada majlis mesra media bersama artis-artis Media Asia Production (MAP) di restoran Hadramawt, The Curve di sini pada Rabu. Antara artis MAP yang turut hadir ialah Ali'din, Ustaz Nabil Ahmad dan Emmet Azmir. Mengenai album Qiyamullail, ia memuatkan sebanyak 13 trek alunan zikir yang telah disusun semula mengikut trend muzik terkini. "Saya lihat, setakat ini belum ada siapa-siapa lagi yang menghasilkan album Qiyamullail dan kerana itu saya muncul dengan konsep album sedemikian. "Ia juga sangat penting demi menghidupkan ibadah ini di kalangan masyarakat Islam terutama generasi muda. “Konsep yang saya pilih ini adalah untuk memberi kelainan kerana ketika ini tidak banyak album zikir diiringi muzik. Hampir 90 peratus zikir yang dimuatkan itu adalah daripada hadis Rasulullah SAW," ujarnya. Tambah Ariffin yang juga merupakan guru di sebuah sekolah rendah, jika sambutan album solo berkenaan berjaya, dia akan menghasilkan pula album kedua di mana konsep dan pengisiannya sudahpun siap. Album Qiyamullail yang berharga RM19.90 kini sudah pun berada di pasaran.