PETALING JAYA: Pelakon Erin Malek menjelaskan foto-foto dia berpesta di sebuah kelab malam yang tersebar di Internet merupakan peristiwa yang sudah berlalu dan tidak perlu untuk diungkit semula. Justeru itu, Erin atau nama sebenarnya Nur Arina Abdul Malek, 20, meminta agar semua pihak agar tidak memanjangkan perkara berkenaan kerana dia pun sudah bergelar isteri orang. "Benda itu sudah berlalu dan saya tidak mahu komen panjang. Yang penting, suami, keluarga mertua termasuklah keluarga saya sendiri tahu mengenai perkara tersebut," katanya yang dihubungi mStar Online di sini pada Rabu. Erin dan Farriz Fauzy, 30, sah diijabkabulkan pada 10 Oktober lalu di rumah pengantin perempuan di Duta Suria, Ampang dekat sini manakala majlis resepsi persandingan mereka diadakan sehari kemudian di Hotel InterContinental dekat sini. Kira-kira enam hari selepas majlis bahagia itu, tiga foto yang menunjukkan Erin berada di sebuah kelab malam popular di ibu kota tersebar di laman Internet. Gara-gara foto tersebut, pelakon Misiku Kuza itu mendapat kecaman daripada pelbagai pihak lebih-lebih lagi foto itu menunjukkan dia berpakaian kurang sopan ketika berhibur di kelab berkenaan. Sepanjang isu itu hangat menjadi bualan ramai, Erin gagal dihubungi ramai media yang ingin mendapatkan penjelasannya. Antara foto bulan madu Erin dan Farriz yang diambil di Instagram miliknya. Sementara itu, Erin yang baharu saja pulang daripada percutian bulan madu bersama suaminya dari Amerika Syarikat (AS) pada Selasa lalu berharap, selepas kenyataannya ini, isu berkenaan tidak terus dipanjangkan lagi. Dalam pada itu bercerita mengenai percutian bulan madunya selama dua minggu di AS, Erin dan suami telah mengunjungi Los Angeles (LA) dan Las Vegas. "Ini merupakan kunjungan pertama kami di LA dan Vegas. Alhamdulillah, percutian kami amat menyeronokkan. Tiada sebarang perancangan yang teliti sebaliknya kami redah saja apa-apa yang menarik untuk dikunjungi. "Di Vegas, kami juga sempat menyaksikan persembahan penyanyi antarabangsa, Britney Spears," katanya teruja. Dalam perkembangan lain, Erin akan ke Singapura pada Khamis (hari ini) bagi mempromosikan filem lakonan terbaharu bersama Kamal Adli berjudul Misi Tawan Baby. Filem terbitan Astro Shaw itu akan ditayangkan di seluruh pawagam di Malaysia bermula 13 November ini. Bermula minggu depan, kata Erin, dia juga sudah mula sibuk memenuhi jadual penggambaran drama dan filem.