suria

"Hubungan Dengan Izara Aishah Terlalu Peribadi" - Adib Khalid

Adib Khalid, baharu sahaja dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Tune Studios.
PETALING JAYA: Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Tune Studios iaitu Adib Khalid memberitahu kisah hubungannya dengan aktres Izara Aishah terlalu peribadi untuk dikongsi dengan orang ramai.

Adib atau nama sebenarnya, Muhammad Adib Khalid, 24, bagaimanapun tidak menafikan kenyataan yang dibuat oleh aktres berkenaan iaitu mereka sedang dalam proses mengenali hati budi masing-masing.

"Kenyataan yang Izara Aishah beri kepada media sebelum ini adalah benar dan kami memang saling mengenali.

"Cukuplah dia sahaja yang beri kenyataan bagi pihak saya kerana ia terlalu peribadi untuk diceritakan," ujarnya kepada mStar Online.

Adib yang juga anak anak kepada ahli perniagaan terkenal Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa ditemui pada sidang media sempena konsert Sky Blu Live In Kuala Lumpur, di Signature @ The Roof, Sky Lounge, di sini, Khamis.

Tune Studios terlibat membawa kumpulan muzik itu ke negara ini. Konsert berkenaan telah diadakan di The Play Club, di sini, malam Khamis.

Izara Aishah


Dalam pada itu Adib menetapkan tempoh masa antara tiga hingga empat tahun untuk memberi fokus kepada kerjayanya sebelum memikirkan soal berumah tangga.

Katanya, buat masa ini dia terlalu sibuk untuk mengatur perancangan syarikat   yang baru diterajuinya itu.

"Insya-Allah saya beri tempoh tiga hingga empat tahun untuk beri perhatian sepenuhnya kepada syarikat sebelum memikirkan soal peribadi atau berumah tangga.

"Buat masa sekarang ini belum masanya, kerana banyak perancangan dan strategi yang diatur untuk syarikat ini," ujarnya.

Adib juga dalam proses mencari beberapa artis baharu dan lama untuk bernaung di bawah syarikat tersebut selain merancang  membawa  beberapa artis popular antarabangsa bagi mengadakan konsert pada tahun hadapan.

"Sekarang kami belum ada artis, Insya-Allah akhir tahun ini kita akan tandatangan beberapa orang artis tempatan.

"Bagi mereka yang berminat untuk berada di bawah Tune Studio juga boleh hantar profil dan demo kepada kami," ujarnya.

Tune Studios sebelum ini diterajui oleh Jeremy Little, 31, yang memegang jawatan tersebut sejak 2012.

Pemuda itu meninggal dunia di Mekah, Arab Saudi pada 8 April lalu ketika mengerjakan Umrah.

Artikel Berikut

Artikel Lain