PETALING JAYA: Penyanyi remaja iaitu Masya atau nama sebenar Siti Nur Masyitah mendedahkan dia sering diganggu lelaki tidak dikenali selepas menjuarai program Ceria Popstar musim kedua lalu. Masya, 14, berkata, lelaki tersebut menghantar hadiah setiap hari di rumahnya, malah pernah menganggunya di sekolah ketika sedang belajar. "Selepas menang Ceria Pop Star musim 2 pada Jun lalu kehidupan memang banyak berubah kerana saya lebih dikenali berbanding dahulu. Setiap hari ada budak lelaki bagi hadiah hantar di rumah dan ada juga yang datang sekolah saya semata-mata untuk berjumpa," ujarnya kepada mStar Online, pada Khamis. Masya ditemui pada majlis pelancaran album Ceria Popstar musim 2, di pejabat Warner Music, di Menara TSR, di sini, Khamis. Katanya, gangguan tersebut membuatkan dia agak rimas apabila dijadikan bahan ejekan rakan-rakan di sekolahnya. Namun dia tidak membuat sebarang laporan polis kerana gangguan tersebut tidak mengancam keselamatannya. "Bila ada lelaki datang ke sekolah untuk jumpa saya ramai kawan-kawan sekolah yang ejek saya hingga buat saya rasa tidak selesa dan rimas. Tapi gangguan itu belum lagi sampai tahap mengancam keselamatan, cuma saya lebih berhati-hati terutama bila berjalan bersendirian," ujarnya. Finalis Ceria Popstar 2, bersama album terbaharu mereka terbitan Warner Music. Masya yang merupakan anak didik kepada penyanyi Hazama dalam pertandingan itu belajar di sebuah sekolah di Kulim, Kedah. Dalam pada itu, Masya berkata, pendapatan sebagai penyanyi agak mengalakkan apabila dia banyak mendapat tawaran persembahan di sekitar Kedah. Dia juga pernah menerima bayaran RM1,500 untuk satu majlis di negeri itu. "Alhamdulillah rezeki selepas menang Ceria Popstar agak baik dan banyak persembahan saya ambil di sekitar Kedah. "Oleh kerana saya masih bersekolah dan keluarga tidak mahu saya abaikan pelajaran, saya hanya mengambil persembahan wakti cuti sekolah sahaja," katanya. Selain Masya album kompilasi Ceria Popstar 2 memuatkan enam buah lagu baharu nyanyian finalis program tersebut termasuklah Iqbal, Erissa, Jomego, Putri Ain dan Sheikh Basir. Syarikat rakaman Warner Music mengambil kesempatan menerbitkan album berkenaan selepas enam peserta terbaik itu mendapat tontonan yang tinggi sehingga mencecah lebih 1 juta.