suria

Amanda Imani Belum Sedia Bercinta Selepas Putus Dengan Syarif (Sleeq)

Amanda menunjukkan album terbaharunya Black Heart.

PETALING JAYA: Penyanyi Amanda Imani belum bersedia untuk bercinta sejak putus hubungan pada hujung tahun 2011 dengan salah seorang ahli kumpulan Sleeq iaitu Syarif.

Amanda, 22, berkata, dia lebih senang hidup solo agar dapat memberi perhatian penuh terhadap karier nyanyiannya tanpa perlu memikirkan komitmen sebagai pasangan kekasih.

"Lebih senang hidup begini (solo) kerana saya tidak perlu berhadapan dengan masalah-masalah berkaitan hubungan percintaan.

"Dan ini memudahkan saya untuk memberi fokus terhadap karier nyanyian saya.

"Risau juga apabila berkasih, saya perlu memberikan komitmen terhadap dua perkara iaitu cinta dan kerjaya," katanya kepada mStar Online.

Amanda ditemui pada majlis pelancaran album Inggeris terbaharunya berjudul Black Heart di kedai buku Borders The Curve, di sini pada Jumaat.

Syarif yang berasal dari Singapura bakal menamatkan zaman bujangnya dengan Malaque Mahdaly pada 22 November ini.

mStar Default Image
Amanda (dua dari kiri) bersama mereka yang terlibat menjayakan albumnya.

Dalam pada itu Amanda mengakui ada juga beberapa lelaki yang cuba mendekatinya namun ia hanya bersifat sementara memandangkan kebanyakan mereka sukar menerima sikapnya yang berbeza berbanding wanita lain.

"Memang kalau ada yang nak cuba berkawan dengan saya, mereka hanya bertahan paling lama pun dua minggu.

"Sebabnya? Mereka kata saya pelik, tetapi memang pun. Saya suka melakukan perkara-perkara yang jarang dibuat wanita lain… haha," selorohnya.

Sementara itu, mengenai album Black Heart, ia memuatkan sebanyak tujuh buah lagu iaitu City Of Angels, Black Widow, Black Heart, Heart For Hire, Next Generation, Newlyweds dan I've Got It All.

Selain itu album tersebut turut menampilkan dua lagu bonus iaity Like A Boss dan Billionaire Boy.

Kata Amanda, album ketiganya ini menampilkan sisi misteri mengenai hidupnya yang telah melalui pelbagai dugaan sebagai selebriti.

"Dalam album ini ia mengisahkan mengenai diri saya selain pandangan saya terhadap masyarakat di sekeliling.

"Saya menyampaikan lagu  mengenai sisi kehidupan sebenar manusia yang penuh rintangan berbanding kegembiraan," ujarnya.

Album Black Heart boleh dibeli di kedai buku Borders Malaysia, Tower Records Malaysia, Starbucks Malaysia, iTunes, Amazon.com dan Spotify.

Amanda Imani

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain