PUTRAJAYA: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) akan menyediakan draf Akta Industri Kandungan Kreatif untuk memajukan industri berkenaan, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek. Ahmad Shabery berkata, Finas akan diminta mengadakan perbincangan dengan wakil penggiat industri kreatif untuk memberi cadangan dalam penyediaan draf rang undang-undang tersebut. Katamya, beliau tertarik dengan cadangan agar kerajaan menggubal akta baharu itu seperti disarankan oleh gabungan penggiat-penggiat industri televisyen negara dikenali "Switch Off 14". "Sekarang, terdapat Akta Finas 1981 dan akta berkaitan penyiaran. Kalau perlu ada akta baharu, kita nak tengok apa akta baharu yang dicadangkan dan minta supaya diberikan draf rang undang-undang akta baharu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Kebangsaan Komunikasi Mudah Alih dan Pembangunan Luar Bandar, di sini, pada Selasa. Ahmad Shabery diminta mengulas mengenai memorandum yang dihantar "Switch Off 14" yang mengandungi 11 tuntutan berkaitan industri perfileman dan televisyen. Gabungan berkenaan terdiri daripada 10 persatuan penggiat seni tempatan termasuk pelakon, kumpulan krew penerbitan dan pengiklanan. Antara 11 tuntutan 'Switch Off 14 adalah mewujudkan akta industri kandungan kreatif; menekankan hak harta intelek yang adil dan munasabah; menaikkan kadar harga dengan menyelaraskan harga slot kandungan di stesen TV; pengagihan slot TV yang lebih adil dengan menekankan 70% kandungan tempatan; dan penguatkuasaan polisi buatan Malaysia dan paducitra. Untuk memperkasakan industri kandungan kreatif negara, Ahmad Shabery berkata kerajaan akan menubuhkan pusat sehenti 'Pitching Centre' untuk mendengar idea-idea serta membantu dan membimbing penggiat industri itu. Kerajaan juga akan menubuhkan pusat sehenti yang dikenali sebagai 'Content Malaysia' yang akan mengumpulkan idea-idea baharu berhubung industri kreatif, katanya. Seminar tersebut bertajuk 'Komunikasi Mudah Alih dan Pembangunan Luar Bandar Memperkaya Kehidupan Komuniti Luar Bandar melalui Mudah Alih' adalah bertujuan menyediakan platform bagi para penyelidik, eksekutif industri telekomunikasi, wakil media, pegawai kerajaan yang berkaitan untuk membincangkan isu dan pengalaman mengenai komunikasi mudah alih dan pembangunan luar bandar.