suria

Sambutan Hari Jadi Roslan Shah Dapat Tajaan RM10,000

Roslan bersama kenalan dan rakan artis yang menjayakan sambutan hari jadinya pada malam Isnin lalu. Foto BRIAN MOH

PETALING JAYA: Pelakon dan pengacara Roslan Shah berasa terharu apabila ada beberapa syarikat swasta berbesar hati untuk menaja sambutan hari jadinya yang diadakan di The Heritage, Seri Kembangan dekat sini pada malam Isnin lalu.

Roslan, 44, berkata, dia menerima tajaan sebanyak RM10,000 bagi menjayakan majlis tersebut biarpun perancangan untuk mengadakan acara itu disaat-saat akhir.

"Alahmdulillah saya memang tidak menyangka pada usia 44 tahun masih ada pihak yang sudi menaja sambutan hari jadi saya. Sejujurnya saya tidak merancang pun untuk mengadakan majlis tersebut.

"Ini dinamakan rezeki biarpun perancangan untuk mengadakan majlis tersebut dibuat pada saat-saat akhir," katanya kepada mStar Online.

Majlis bertemakan retro itu mendapat tajaan daripada Morgage Capitals, Morazihan Malaysia Sdn Bhd, Adi Putra Dekor dan Sid Bake.

Pelakon dan pengacara, Didie Alias pula bertindak sebagai hos acara yang turut dihadiri oleh rakan artis seperti Lisdawati, Azza (Elite), Dior, Zima Din, Syed Ali dan Azmeer.

Dalam pada itu, Roslan berkata, dia juga teruja apabila majlis berkenaan turut diserikan dengan kehadiran lebih 100 tetamu biarpun pada asalnya hanya menjangkakan 70 tetamu bakal hadir.

Jelas Roslan, sokongan yang ditunjukkan rakan-rakannya dan teman artis adalah hadiah paling istimewa kepadanya pada malam sambutan itu.

"Tiada apa yang saya harapkan selain daripada kesihatan yang baik, rezeki dan dikelilingi teman rapat yang sentiasa bersama saya dalam waktu susah dan senang.

"Alhamdulillah semua teman-teman rapat dan rakan artis ramai hadir pada malam itu bagi memeriahkan suasana," ujarnya.

Sementara itu, Roslan yang kini berada di Singapura memberitahu, dia berulang-alik ke negara tersebut setiap minggu bagi menjaga ibunya, Mariam Kari, 76 tahun yang kini berada dalam keadaan uzur.

Jelas Roslan, dia tidak pernah berasa beban kerana itu adalah tanggungjawabnya sebagai anak dan mengambil peluang ini untuk membalas jasa baik ibunya selama ini.

"Keadaan ibu walaupun stabil namun dia tidak kuat berjalan dan memerlukan bantuan untuk bergerak, makan dan membersihkan diri. Sebagai anak lelaki ibu menjadi tanggungjawab saya dan akan melakukan sedaya upaya supaya beliau dapat dijaga dengan baik," ujarnya.

Sementara itu, Roslan berkata, dia bakal ke Vietnam pada 12 hingga 16 Disember depan untuk mengadakan persembahan di negara itu atas anjuran Morazihan Malaysia Sdn Bhd.

Bagi tujuan tersebut, Roslan memberitahu dia turut mempelajari bahasa ibunda negara itu bagi memudahkan dia berkomunikasi dengan penonton nanti.

"Alhamdulillah itu dinamakan rezeki dan saya akan cuba buat yang terbaik untuk persembahan di Vietnam nanti dan saya tidak sabar untuk menghiburkan penonton di sana nanti," katanya.

Roslan Shah.

Artikel Lain