suria

Muaz Belajar Jaga Bayi di YouTube

Muaz bersama isterinya Ediana dan anaknya Emriza.
PETALING JAYA: Penyampai Nasional FM, Muaz Mohamed mengakui banyak mempelajari teknik-teknik penjagaan bayi menerusi laman YouTube selepas dikurniakan bayi lelaki bernama Emriza Mukhriz pada 25 September lalu.

Muaz atau nama sebenarnya Muazanazzudin Mohamed, 30, berkata, perkara tersebut membuatkannya lebih teruja untuk membantu isteri, Nor Ediana Ab. Aziz, 30, dalam menguruskan anak sulungnya itu.

"Banyak yang saya pelajari selepas dapat anak terutamanya daripada segi penjagaan bayi yang agak rumit. Selain daripada keluarga, saya juga dapatkan tip melalui laman YouTube.

"Saya tengok cara-cara bagaimana untuk mandikan bayi, tukar lampin dan banyak lagi. Sebagai lelaki memang perlu untuk ambil tahu semua itu untuk bantu isteri," ujarnya kepada mStar Online.

Muaz juga menjelaskan dirinya tidak kekok walaupun baru pertama kali dalam menguruskan anaknya yang digelar Baby Em itu. 

Tambahnya, dia juga bertanggungjawab penuh ke atas bayi tersebut ketika isterinya berada didalam pantang.

"Saya kasihan melihat isteri saya jadi selagi mampu saya akan tolong dia uruskan bayi. Pengalaman menjadi bapa ini sangat menyeronokkan dan saya tidak pun rasa susah atau kekok," katanya.

Dalam pada itu, kesibukannya sebagai penyampai radio di Radio Televisyen Malaysia (RTM) tidak menjadi bebanan kepadanya untuk bersikap lepas tangan terhadap urusan rumah tangga.

Katanya, cabaran utama adalah daripada segi pembahagian masa kerja dengan bijak agar kehidupan berjalan lancar.

"Semuanya kena rancang dengan bijak, sejak ada anak ini saya kerap balik awal untuk tolong apa yang patut.

"Nasib baik juga rumah dengan tempat kerja tidak jauh dan biasanya pukul 5 atau 6 petang saya sudah berada di rumah," ujarnya.

Muaz, KL FM

Artikel Lain