KUALA LUMPUR: Penyanyi Altimet menganggap seorang penyanyi rap sejati akan menjadi diri sendiri dan mampu menulis lirik tanpa menyanyikan karya yang ditulis oleh orang lain. Altimet atau nama sebenarnya Ahmad Abdul Rahman, 36, berkata, semua lirik yang dilontarkan oleh penyanyi rap adalah melalui hati dan mempunyai kaitan dengan kehidupan peribadi mereka. "Pada saya penyanyi rap yang sebenar adalah yang menulis sendiri lirik tersebut dan bukan menyanyikan lirik yang dibuat oleh penulis lirik lain. "Penyanyi rap perlu menjadi diri sendiri dan berkarya melalui hati dan kehidupan seharian yang kita lalui," ujarnya kepada mStar Online ketika ditemui pada sidang media video muzik Belantara Konkrit, di pejabat Sony Music, di sini, Selasa. Altimet berkata demikian ketika diminta mengulas tentang kemunculan penyanyi-penyanyi rap baharu dalam industri muzik tempatan dengan menyanyikan lagu ciptaan komposer dan penulis lirik lain. Altimet Sementara itu katanya, tiada sebarang program realiti yang mampu melahirkan seseorang penyanyi rap. Ujarnya, kradibiliti seorang penyanyi rap itu boleh diragui sama ada mereka benar-benar menyanyi daripada jiwa atau sekadar mencuba nasib untuk berada dalam industri seni. "Kita lihat Joe Flizzow dalam program Mentor dahulu pun tidak mengambil protegenya untuk menjadi seorang penyanyi rap kerana dia tahu ia tidak boleh dicari melalui program realiti seperti itu. "Kita dapat kenal siapa yang benar-benar penyanyi rap atau yang sekadar suka-suka sahaja," ujarnya. Dalam pada itu, bercerita tentang single terbaharunya berjudul Belantara Konkrit bersama Salam dan Aman-RA, Altimet berkata, dia mencipta lagu tersebut berdasarkan pandangannya terhadap kota raya yang semakin dipenuhi dengan bangunan. Video muzik Belantara Konkrit ini juga mengisahkan tentang perihal Kuala Lumpur yang sentiasa mempunyai permasalahan isu semasa. "Pada suatu malam semasa saya sedang memandu di sekitar Kuala Lumpur, tiba-tiba terdetik frasa hutan bangunan di benak fikiran. "Sebagai anak jati Kuala Lumpur, saya rasa terpanggil untuk menceritakan kisahnya dalam lagu," ujarnya. Turut hadir pada majlis tersebut ialah Pengarah Urusan Sony Music, Julius Ng dan Wakil Kartel Record, David Tee.