suria

Wan Raja Risau Tajaan Kahwin Ditarik Balik

Wan Raja.
PETALING JAYA: Pelakon Wan Raja berharap tajaan yang diterimanya sebanyak RM200,000 bagi melangsungkan majlis perkahwinannya dengan Yaya Maembong tidak ditarik pada saat-saat akhir.

Wan Raja, 37, berkata, walaupun yakin dengan penajanya iaitu Putree Bridal dan Wedding Studio, namun perasaan risau tetap membelenggu di fikiran apatah lagi ramai artis yang pernah ditipu oleh penaja-penaja yang tidak bertanggungjawab.

"Diakui perasaan itu memang timbul kerana maklumlah sebelum ini pun ramai artis yang mendapat tajaan perkahwinan larikan diri pada saat akhir.

"Tetapi Alhamdulillah setakat ini pihak penaja sentiasa mengemaskini setiap persiapan yang telah dibuat. Diharap semuanya berjalan dengan lancar," katanya kepada mStar Online.

Wan Raja dan Yaya bakal bernikah pada 12 Disember ini di Masjid Al-Ridhuan Ulu Klang dekat sini.

Majlis resepsi akan berlangsung pada 14 Disember 2014 di Dewan Sri Putra, Kuala Lumpur manakala pada 26 Disember 2014 di Dewan Sri Pinang, Padang Kota, Pulau Pinang.

Sementara itu, Wan Raja berkata, dia tidak sangka menerima tajaan yang besar memandangkan dia dan Yaya bukanlah selebriti popular.

"Asalnya kami nak buat majlis yang sangat sederhana. Tetapi majlis kami terus diubah kepada sebuah acara yang besar pula.

"Semua itu adalah sebab penaja yang kami terima. Rezeki orang kahwin agaknya...Hahaha. Alhamdulillah.

"Persiapan kahwin pun sudah hampir selesai dan hanya tinggal urusan menyiapkan beberapa dokumen yang perlu diselesaikan," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Wan Raja sedang sibuk dengan penggambaran drama Teman Lelaki Upahan yang diarahkan oleh Edora Rahman, bagi slot Akasia, TV3.
Wan Raja, Yaya Maembong

Artikel Lain