KUALA LUMPUR: Lima artis popular memeriahkan pelancaran novel tulisan publisis iaitu Bill Bora berjudul Mutiara Hatiku Rafflesia yang diadakan di Hotel Istana, di sini, Rabu. Lima artis popular tersebut ialah Fauziah Latiff, Kamal Adli, Raja Ilya, Miera Leyana dan Lufya. Menurut Bill Bora, novel tersebut merupakan sebuah kisah cinta inspirasi daripada hubungan pemilik barang kemas Rafflesia iaitu Sin Cheang Loong dan isterinya Winnie Sin. Antara artis yang hadir mengetuk ketulan ais sebagai tanda pelancaran novel Mutiara Hatiku tulisan Bioll Bora. "Novel cinta ini saya dedikasikan kepada pasangan Sin Cheang Loong dan isterinya Winnie Sin yang tidak pernah berpisah. "Saya mengenali mereka sudah lama iaitu sejak mereka belum berkahwin lagi dan kagum dengan cara pasangan ini mempertahankan cinta mereka," ujarnya kepada mStar Online. Bill Bora berkata, novel itu akan diterbitkan dalam bahasa Indonesia, Tagalog dan Thailand. Katanya, siri terjemahan tersebut dilakukan bagi memudahkan novel tersebut dipasarkan ke negara-negara itu dalam masa terdekat. Bill Bora "Kita akan terjemah dalam bahasa Indonesia terlebih dahulu selepas itu barulah bahasa Tagalog dan Thailand untuk pasaran negara tersebut. "Novel ini sangat memberi inspirasi kepada pembaca tentang bagaimana melalui hubungan percintaan," ujarnya. Turut hadir pada majlis tersebut ialah pemilik butik barang kemas berkenaan iaitu, Sin Cheang Loong dan isterinya Winnie Sin, Pengerusi Yayasan Pembangunan Buku Negara, Hassan Hamzah, dan Pengurus Besar Hotel Istana, Amir Khan. Novel Mutiara Hatiku Rafflesia kini berada dipasaran dan dijual dengan harga RM24 senaskhah.