PUTRAJAYA: Sebanyak sepuluh buah lagu genre nasyid dan ketuhanan diumumkan layak ke Anugerah Nasyid IKIM FM yang bakal berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini pada 10 Januari depan. Senarai tersebut dibuat oleh barisan lima juri profesional hasil daripada pemilihan 30 buah lagu yang mendapat pencapaian terbaik dalam Carta IKIM sepanjang tahun 2014. Pengumuman itu dilakukan oleh Ketua Pengarah, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Datuk Nik Mustapha Nik Hassan dalam satu sidang media yang diadakan di Anjung Tinjau PICC pada Khamis. Menurut Nik Mustapha, penganjuran semula anugerah berkenaan adalah bagi mengiktiraf sumbangan penggiat nasyid dan lagu-lagu ketuhanan sama ada daripada kalangan komposer, penulis lirik dan penyanyi. "Anugerah Nasyid IKIM FM kali terakhir diadakan pada 2005 dan sudah tiba masanya ia dikembalikan bagi memartabatkan industri nasyid tanah air yang semakin berkembang maju dengan pelbagai lagu dihasilkan oleh penggiat seni tanah air," katanya kepada mStar Online. Acara itu bakal disiarkan secara langsung menerusi TV Al Hijrah, IKIM FM dan TV IKIM pada pukul 9 malam. Mawi bakal bergandingan dengan Datuk AC Mizal menerusi lagu Al Haq...Yang Satu. Ia bakal dihoskan oleh Heliza Helmi dan Amin Idris. Sepuluh lagu yang tersenarai ke peringkat akhir Anugerah Nasyid IKIM FM adalah Al Haq...Yang Satu (Mawi & Datuk AC Mizal), Dalam Sujud Cintaku (Halim Ahmad), Iman dan Aman (Inteam) dan Rindu Ini (Du'a Feat Amal, Alkautsar, Anas Tahir dan Azfar). Manakala kumpulan Nowseeheart turut tersenarai menerusi lagu Maafkan Aku, Seiring Sehaluan (UNIC) dan Tangis Sebatang Tamar (Daqmie). Dua lagu nyanyian Hafiz Hamidun iaitu Jodoh Berdua dan Kasih Padamu turut dicalonkan pada peringkat akhir termasuk Ucaplah Alhamdulillah (Amirul Haswendy) yang juga seorang wartawan hiburan di akhbar Harian Metro. Sementara itu ujar Nik Mustapha, sebanyak 10 kategori anugerah bakal dipertandingkan pada peringkat akhir tersebut termasuk Lagu Terbaik, Lirik Terbaik, Persembahan Terbaik dan Vokal Terbaik. Tambahnya lagi, empat anugerah utama itu akan dinilai oleh barisan juri profesional dan kesemua finalis akan mengadakan persembahan pada malam tersebut sebelum pemenang diumumkan. "Tiga lagi anugerah adalah bagi memberi pengiktirafan kepada lagu yang cemerlang dalam Carta IKIM FM iaitu Lagu Paling Banyak Menjadi Juara Carta IKIM, Lagu Paling Lama Bertahan Carta IKIM dan Artis Baru Terbaik," katanya. Manakala tiga anugerah lagi iaitu Artis Solo Pilihan Pendengar, Artis Duo/Berkumpulan Pilihan Pendengar dan Lagu Pilihan Pendengar akan diberikan kepada pemenang berdasarkan undian daripada pendengar IKIM FM menerusi Khidmat Pesanan Ringkas (SMS). Kesemua pemenang bakal menerima sebuah trofi dan hadiah wang tunai yang jumlahnya hanya akan diumumkan pada malam kemuncak Anugerah Nasyid IKIM FM.