suria

Shahriza Mahmud Hampir Putus Asa Teruskan Karier Lakonan

Shahriza rindukan dunia lakonan namun rezeki tidak memihak kepadanya.

PETALING JAYA: Dramatis Shahriza Mahmud hampir berputus asa untuk meneruskan kariernya sebagai pelakon selepas hampir 15 tahun tidak mendapat sebarang tawaran berlakon.

Shahriza, 48, berkata, speanjang tempoh itu dia pelbagai perkara telah dilakukannya termasuk menghadiri sesi uji bakat dan bertemu dengan penerbit namun usahanya itu sia-sia.

"Hanya Allah yang tahu betapa tebalnya muka saya apabila sampai terpaksa merayu untuk mendapatkan watak dalam sesuatu projek drama atau drama bersiri tetapi semuanya tidak mendatangkan sebarang hasil.

"Oleh sebab itu juga saya pernah berputus asa untuk meneruskan karier dalam lakonan kerana merasakan rezeki saya bukan lagi dalam bidang tersebut," katanya kepada mStar Online.

Shahriza ditemui pada majlis pelancaran drama bersiri lakonannya berjudul #Antidot di Sri Pentas Bandar utama pada Isnin lalu.

Selain Shahriza, drama bersiri arahan Kabir Bhatia itu turut menampilkan pelakon seperti Kamal Adli, Remy Ishak, Nad Zainal dan Nabila Huda.

Ia bakal disiarkan bermula 9 Disember ini pada setiap hari Selasa pada pukul 10 malam di TV3.


Shahriza harap akan menerima lebih banyak peluang selepas kemunculannya dalam #Antidot.

Dalam pada itu, Shahriza berkata, dia sukar melafazkan kata apabila namanya terpilih untuk berlakon dalam drama bersiri tersebut dan memberitahu doanya dimakbulkan oleh Allah.

Jelas Shahriza, perasaan rindu untuk berlakon dalam drama bersiri sudah lama dipendam namun ekoran rezeki tidak memihak kepadanya dia terpaksa mengalah.

"Alhamdulillah doa saya selama ini akhirnya dimakbulkan Allah dan perasaan teruja itu sukar digambarkan apabila dapat kembali berlakon dalam drama bersiri selepas sekian lama.

"Kali terakhir saya muncul dalam drama bersiri untuk siaran TV3 adalah kira-kira 20 tahun lalu dan sudah tentu saya teruja," jelasnya.

Sementara itu, Shahriza berkata, dia berharap kemunculannya dalam #Antidot akan membuka lebih banyak ruang kepadanya selepas ini untuk bergiat lebih aktif sebagai pelakon.

Malah kata Shahriza, peluang berlakon dibawah arahan Kabir adalah satu penghormatan kepadanya dan menyifatkan lelaki itu sebagai berkaliber dan profesional ketika di set penggambaran.

"Insya Allah harap-harap selepas #Antidot ditayangkan peluang saya untuk terus aktif sebagai pelakon kembali sinar kerana perasaan rindu untuk berlakon itu menebal sangat.

"Peluang diberikan TV3 dan Kabir memang saya gunakan sebaik-baiknya dan berharap kemunculan saya dalam drama tersebut diterima baik oleh penonton," katanya.

Pelakon itu sebelum ini pernah popular menerusi drama bersiri Pendekar dan Memori Berarak Jingga menerusi slot Spektra yang pernah disiarkan di TV2.
Shahriza Mahmud, #Antidot.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain