suria

Isu Keluar Ketika Berpantang Tidak Perlu Diperbesarkan - Rozita Che Wan

Rozita Che Wan mempunyai cara tersendiri dalam mengamalkan rutin berpantang selepas bersalin.

PETALING JAYA: Pelakon Rozita Che Wan menyifatkan pemergiannya ke Johor Premium Outlets (JPO) di Johor baru-baru ini walaupun belum tamat tempoh berpantang (selepas bersalin) tidak perlu diperbesar-besarkan.

Rozita atau lebih mesra dipanggil Che Ta, 41, berkata, dia mempunyai cara tersendiri dalam penjagaan diri apatah lagi tidak pernah membuat sebarang kenyataan berpantang enggan keluar rumah.

"Setakat ini saya tidak pernah pun memberi kenyataan berpantang untuk tidak keluar rumah. Sebaliknya hanya berpantang daripada segi penjagaan makanan dan dalaman badan.

"Jadi tak perlu nak persoalkan kenapa saya ke sana. Saya 'pantang orang ajak' adalah.. hahaha," katanya dengan nada gurau ketika dihubungi mstar Online pada Ahad.

Sebuah akhbar mingguan pada Ahad melaporkan Rozita dilihat sedang membeli belah bersama suami, Zain Saidin dan anaknya, Aaisyah Dhia Rana di JPO beberapa minggu lalu.

Rozita baru saja melahirkan anak perempuan sulungnya pada 1 November lalu.
Kehadiran Rozita yang memakai skirt pendek dan stokin panjang di pusat beli belah berkenaan menjadi persoalan memandangkan aktres tersebut masih lagi dalam tempoh berpantang sejak melahirkan anak perempuan sulungnya itu pada 1 November 2014.

Sementara itu, Rozita berasa terkejut apabila kehadirannya ke JPO menjadi bualan ramai, sedangkan perkara itu adalah normal bagi sesetengah golongan wanita.

"Sebenarnya, kalau nak diikutkan saya nak duduk dalam kereta sahaja. Tetapi memandangkan suami, anak-anak dan ibu keluar, maka saya pun ikut sekali. Tak mahulah duduk seorang diri dalam kereta.

"Tetapi lain pula jadinya apabila orang mula bercakap tentang kami. Mula-mula kata suami saya sombong kerana tidak mahu ambil gambar. Lepas itu kata saya langgar pantang pula. Macam-macam..," ujarnya.

Mengikut adat Melayu, seseorang ibu yang bersalin akan menjalani rutin berpantang selama 40 hingga 44 hari bagi mempercepatkan proses pemulihan mengembalikan kesihatan rohani, mental dan bentuk badan.

Rozita Che Wan

Artikel Lain