suria

Pengarah Tidak Sasar Kutipan 'Terbaik Dari Langit'

Barisan pelakon filem Terbaik Dari Langit.

PETALING JAYA: Pengarah filem Terbaik Dari Langit  iaitu Nik Amir Mustapha tidak meletakkan sebarang sasaran terhdap kutipan karya terbaharunya itu apabila ia menemui penonton di pawagam bermula 25 Disember ini.

Nik Amir sebaliknya berkata, menerusi karya tersebut dia hanya berharap agar mampu menarik minat penonton ke panggung wayang dalam memeriahkan lagi industri perfileman negara yang semakin suram.

"Seperti mana kita tahu industri filem pada tahun ini sangat perlahan dan tidak banyak karya yang betul-betul mendapat kutipan memberangsangkan di pawagam.

"Kutipan bukan fokus saya apabila membikin Terbaik Dari Langit sebaliknya ingin melihat lebih ramai penonton kembali ke panggung dan menyokong produk tempatan," katanya kepada mStar Online.

Terbaik Dari Langit dilakonkan oleh Bront Palarae, Iedil Putra, Nadiya Nisaa, Megat Sharizal, Amerul Affendi, Sharifah Armani dan Siti Saleha.

Bront dan Nadiya Nisaa.

Dalam pada itu, Nik Amir menjelaskan Terbaik Dari Langit adalah sebuah filem yang menampilkan kisah tentang persahabatan dan mengakui mengambil masa selama enam bulan untuk menghasilkan skrip berkenaan bersama Redza Minhat.

Jelasnya, tempoh itu diambil bagi memastikan jalan cerita dipaparkan menarik selain memasukkan elemen fantasi iaitu UFO bagi menambah kompleks kepada jalan cerita sedia ada.

"Jika kita hanya paparkan kisah tentang persahabatan ia tidak akan mempunyai satu keistimewaan dan sebab itu kita memasukkan elemen UFO bagi menjadikannya menarik.

"Filem arahan Aziz M. Osman iaitu XX Ray antara menjadi rujukan kami dalam memasukkan elemen fiksyen seperti itu supaya ia lebih komersial," katanya.

Sementara itu, Nik Amir berkata, babak menampilkan Allahyarham Datuk Aziz Satar menjadi sangat istimewa dalam filem itu kerana pelakon itu meminta untuk menggunakan caranya dalam menyampaikan dialog diberikan.



Nik Amir tidak menyasarkan kutipan sebaliknya berharap filem tersebut dapat menarik minat penonton kembali ke pawagam.

Kata Nik Amir, kata-kata yang diluahkan oleh Aziz cukup mendalam dan meninggalkan kesan dan ia menjadi salah satu kenangan terbaik buat mereka seluruh produksi.

"Biarpun babak Pak Aziz tidak banyak tetapi apabila dilihat kembali selepas pemergiannya ia barangkali antara adegan paling penting dalam filem ini.

"Malah semasa penggambaran, arwah ada meminta untuk menyampaikan dialog dengan caranya tersendiri dan ia cukup meninggalkan kesan kepada kami di produksi Terbaik Dari Langit," ujarnya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain