PETALING JAYA: Majlis akad nikah penyanyi era 60-an iaitu Datuk A Rahman Hassan dengan dramatis Fadilah Mansor bakal berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 25 Disember ini. Majlis akad nikah akan diadakan di Dewan Tun Hussein Onn, PWTC kira-kira pukul 8.30 malam. A Rahman atau nama sebenarnya Abd Rahman Hassan, 68, berkata, majlis itu hanya diadakan secara sederhana dan bakal dihadiri keluarga terdekat kedua-dua belah pihak sahaja. "Saya minta maaf tidak dapat jemput ramai pada majlis perkahwinan itu nanti kerana tempat terhad kepada ahli keluarga sahaja. Itu pun ada sanak saudara jauh yang tidak dapat dijemput. "Ia hanya majlis sederhana sahaja, saya pun sudah tua untuk buat majlis besar-besar sangat cukup untuk 400 tetamu sahaja," ujarnya kepada mStar Online, di sini, Selasa. A Rahman berkata, dia bersyukur majlis tersebut ditaja oleh beberapa pihak termasuk busana pengantin yang bakal digayakan pada malam tersebut. Katanya, pihak lelaki bakal membawa lima dulang hantaran manakala mas kahwin pula sebanyak RM80. "Alhamdulillah ada bebarapa pihak yang ingin menaja saya pada malam itu termasuk baju pengantin, tetapi saya belum buat pilihan ingin pakai yang mana lagi. "Tidak ada tema yang ditetapkan kerana saya lebih suka tetamu datang dengan baju warna-warni kerana nampak lebih meriah," ujarnya. Sementara itu ditanya tentang perasaannya, A Rahman berkata, sebagai seorang yang pernah mendirikan rumah tangga, dia hanya mahu ikatan perkahwinan dengan wanita itu sah dan majlis tersebut berjalan lancar. "Perasaan saya macam biasa sahaja, saya pun tidak tahu nak cakap macam mana. Saya cuma inginkan ikatan kami sah sebagai suami-isteri dan majlis itu berjalan lancar," ujarnya. A Rahman Hassan sebelum ini berkahwin dengan penyanyi kumpulan Orkes Nirwana, Datin Azizah Muhammad, namun wanita itu meninggal dunia pada 26 April 2013 akibat penyakit kanser pangkal rahim. Menerusi perkahwinan terdahulu beliau mempujyai tiga orang anak lelaki termasuklah pelakon Khir Rahman.