suria

Mustapha Maarof Hilang Kasih Sayang Ayah, Isteri

Sekitar pengebumian Allahyarham Mustapha Maarof.
BELASUNGKAWA 
PETALING JAYA: Dunia hiburan pada Isnin dikejutkan dengan berita kematian seniman tersohor, Datuk Mustapha Maarof yang menderita akibat jangkitan paru-paru.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di Hospital Tentera Tuanku Mizan Wangsa Maju, Kuala Lumpur.

Pemergian Allahyarham selepas kira-kira tiga bulan pengarah Jamil Sulong meninggal dunia.

Tentunya seluruh peminat menyimpan perasaan sedih apabila satu demi satu legenda filem Melayu klasik meninggalkan industri hiburan tanah air.


Kali terakhir penulis menemui Allahyarham Mustapha, 79, pada 7 Julai lalu iaitu di Astro ketika sama-sama terlibat sebagai ahli penel Anugerah Lawak Warna anjuran stesen televisyen itu.

Allahyarham ketika itu adalah ketua juri bagi kategori filem.

Dalam pertemuan singkat itu, penulis berborak mengenai dua perkara menarik yang menjadi nostalgia abadi dalam hidupnya iaitu isteri dan ayah.

“Saya ni hilang kasih sayang. Kasih sayang isteri dan kasih sayang seorang ayah,” ujarnya memulakan bicara.

Pastinya tidak ramai yang mengetahui, bapa Allahhyarham iaitu Maarof Zakaria ialah pengasas Bank Kebangsaan Melayu pada tahun 1947.

Kematian Maarof mengejutkan negara  kerana mayatnya dibunuh dengan kejam selepas enam bulan bank berkenaan beroperasi.

Allahyarham (duduk dari kanan) bersama rakan-rakan artis iaitu Ahmad Kecchik dan Datuk Aziz Sattar (berdiri dari kiri), Ahmad Mahmud serta Salleh Kamil. 

Mayatnya ditemui tergantung di dalam hutan. Pembunuhannya dipercayai ada kaitan dengan penubuhan bank berkenaan.

Penulis bertanya, semasa kejadian, adakah apa-apa perasaan yang beliau rasakan?

Dengan pantas Mustapha berkata, dia tidak begitu merasai apa-apa kehilangan kerana usia yang masih kecil ketika itu.

Namun ketika sedang membesar, baharulah Mustapha merasai beliau sebenarnya kehilangan seorang ayah yang hebat iaitu pengasas sebuah bank.

"Tahu atau tidak, apabila saya sudah besar, baru saya tahu nama Jalan Maarof (di Bangsar) itu diberikan sempena nama ayah saya… sebelum itu saya langsung tidak tahu mengenainya,” kata Allahyarham.

Menurut beliau, selepas diceritakan semula mengenai kematian arwah ayahnya itu, Mustapha mengakui beliau benar-benar sedih apatah lagi pembunuhan itu berlaku dengan kejam.

mStar Default Image
Salah satu watak Roseyatimah dengan S Shamsuddin.


Malah kehilangan kasih sayang seorang ayah ketika usia menginjak dewasa bukanlah sesuatu perkara mudah untuk ditempuhi.

Tetapi perkara itu terhapus selepas beliau bertemu jodoh dengan seniwati Roseyatimah  ketika sama-sama terlibat dalam dunia lakonan yang bertapak di Singapura.

Pencintaan mereka diperkukuhkan selepas kedua-duanya terlibat dalam filem Seri Mersing pada tahun 1961 arahan Salleh Ghani sebelum kedua-duanya memutuskan untuk bernikah pada 1967.

Namun, kasih sayang suami-isteri yang disemai itu tidak kekal lama apabila Roseyatimah atau nama sebenarnya Rosnah Jamil meninggal dunia pada 14 Disember 1987 iaitu kira-kira 20 tahun perkahwinan mereka.

Roseyatimah meninggal dunia akibat kanser payudara.

Ketika kematian isteri tercinta, kata Mustapha, luluh jiwanya apatah lagi ketika itu anak-anak masih kecil yang memerlukan kasih sayang seorang ibu.

Tempoh 20 tahun perkahwinan itu masih seperti berbulan-madu.

Oleh sebab itulah Allahyarham menyifatkan, sukar melupakan isterinya itu sehingga membuatkan dia terus memutuskan untuk tidak berkahwin lain.

Dalam satu temubual Allahyarham berkata, suara manja isterinya masih terngiang-ngiang di telinga walaupun sudah lama kematiannya.

Roseyatimah


Sebab itulah kediamannya di Subang Jaya dekat sini masih dipenuhi barang-barang perhiasan dan kenangan milik isterinya yang masih dijaga rapi termasuklah berpuluh buku resipi.

Malah beliau juga tidak dapat lupa bagaimana sempurna arwah isteri melayannya dan anak-anak selain hebat ketika di dapur.

“Saya benar-benar kasih dan sayangkan isteri saya itu dan memori saya bersamanya sukar untuk saya lenyapkan,” ujar Mustapha.

Semasa hayatnya, Allahyarham sering diberi ruang menjadi hero-hero filem khususnya bagi watak putera raja dan pebesar-pembesar istana.

Filem Bawang Putih Bawah Merah ternyata menyerlahkan ketampanan beliau dengan membawa watak Putera, memburu di hutan lalu berjumpa gadis sunti bernama Merah yang cantik manis untuk dijadikan isteri.

Filem lain yang dibintangi Allahyarham antaranya Raden Mas (1958), Sumpah Pontianak (1958) Yatim Mustapha (1959, Sultan Mahmud Mangkat Di Julang (1961), Detik 12 Malam (1979) dan Abang 92 (1993).

Maria Menado Dedahkan Kesetiaan Mustapha Maarof

Dalam satu temubual dilakukan wartawan mStar Online, MOHD AL-QAYUM AZIZI, seniwati Datuk Maria Menado mendedahkan sikap setia Mustapha terhadap Roseyatimah.

Kata Maria, Allahyarham sering mengelak apabila beliau menimbulkan soal perkahwinan biarpun ada yang cuba untuk menjodohkannya dengan beberapa wanita.

Menariknya, Mustapha menolak dengan baik.

"Ada beberapa wanita yang berkenan dengan Mustapha tetapi dia sering mengelak apabila saya cuba bercakap soal itu dengan dia.

"Dia cukup setia dengan isterinya sehinggalah ke akhir hayatnya dan Alhamdulillah doanya untuk disemadikan di sebelah pusara Roseyatimah termakbul,” katanya.

Datuk Maria Menado

Maria memberitahu hubungannya dengan Mustapha rapat selepas mereka sama-sama terlibat dalam filem terbitan Cathay-Keris iaitu Pontianak pada tahun 1957.

"Mustapha seorang yang sangat jujur selain sentiasa menjaga percakapannya supaya tidak menguris perasaan sesiapa dan sebab itu saya senang bersahabat dengannya.

"Hubungan kami seperti adik-beradik dan kami sering berkongsi masalah dan pengalaman dan tidak sangka dia akan pergi secepat ini," ujarnya.

Malah anak bongsu Mustapha, Mohd Rezainuddin, 38, memberitahu arwah bapanya sentiasa memberitahu rindukan arwah ibunya sebelum dia dimasukkan ke hospital.

"Hampir setiap hari sebelum dia dimasukkan ke hospital dia memberitahu kami dia rindukan arwah ibu selain mengingatkan supaya kami adik-beradik sentiasa bersatu hati dan tidak bergaduh," katanya.

Allahyarham meninggalkan tiga orang anak dan tujuh orang cucu.

Sebelum berkahwin dengan Roseyatimah, beliau bernikah dengan Suraya Harun dan dikurniakan seorang anak Suzylynna yang kini berusia 50 tahun.

Selain Mohd Rezainuddin, hasil perkahwinan dengan Roseyatimah Allahyarham memperoleh zuriat iaitu Azlynna, 44, dan Mohammed Khairuddin yang meninggal dunia ketika usia 3 tahun akibat demam denggi.

Jenazah  Allahyarham disemadikan bersebelahan pusara isterinya, Roseyatimah selepas solat Zuhur pada Isnin.

Semoga Allah memberi rahmat kepada roh Allahyarham dan menempatkannya di kalangan orang yang beriman. Al-Fatihah.
Mustapha Maarof

Artikel Berikut

Artikel Lain