KUALA LUMPUR: Pelakon Izzue Islam meletakkan syarat tidak mahu bersentuhan dengan pelakon wanita dalam mana-mana drama lakonannya bagi menjaga status dia sebagai seorang suami. Izzue atau nama sebenarnya Muhammad Izzul Islam Mazlan, 24, juga menganggap prinsip itu juga bagi menjaga maruah pelakon wanita yang digandingkan bersamanya sama ada dalam filem ataupun drama. "Ya, saya ada meletakkan syarat agar tidak ada adegan bersentuhan antara saya dengan pelakon wanita dalam beberapa drama yang saya lakonkan kebelakangan ini. "Saya rasa ia adalah untuk menjaga status saya sebagai lelaki sudah berkahwin dan untuk menjaga maruah pelakon wanita itu juga," ujarnya kepada mStar Online. Izzue berkata demikian ketika diminta mengulas syaratnya tidak mahu bersentuhan dengan pelakon wanita dalam drama terbaharunya berjudul Suami Sebelah Rumah. Drama yang bakal ditayangkan di TV3 pada Mac depan itu turut dilakonkan oleh aktres Ayda Jebat. Tambah Izzue, banyak cara lain yang boleh dilakukan selain berpelukan atau bersentuhan bagi menghidupkan sesuatu babak romantik. Izzue bersama Awin yang juga isteri dan pengurusnya. "Saya rasa tidak semestinya kita perlu berpelukkan atau bersentuhan untuk menampakkan ia babak romantik. "Banyak sahaja cara lain yang tidak memerlukan kita berbuat demikian tetapi masih boleh nampak ia sebagai romantik," katanya. Bagaimanapun dia akan berbincang dengan pengarah terlebih dahulu sebelum menerima mana-mana tawaran lakonan. Sementara itu, Izzue berkata, prinsip tersebut tidak mempunyai kaitan dengan isterinya, Nurinafilah Waharudin (Awin), 32, yang sebelum ini dikatakan seorang yang kuat cemburu. "Keputusan itu atas diri saya sendiri dan bukannya sebab isteri saya cemburu atau tidak. Dia tidak mempengaruhi keputusan apa yang saya lakukan. "Saya berbuat demikian kerana memikirkan ia adalah hal saya sebagai seorang lelaki yang menjadi suami orang," ujarnya. Izzue bernikah dengan Awin yang juga pengurusnya pada 2 Jun 2013.